suria

Umno dan PAS perlu ikhlas bincang pembentukan kerajaan perpaduan - Muhkriz

JERLUN: Pembentukan kerajaan perpaduan mampu memulihkan ekonomi negara sekiranya dibincangkan dengan ikhlas dan penuh toleransi oleh Umno dan PAS, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Mukhriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata beliau yang berkhidmat di bawah kementerian berkenaan sedar bahawa kriteria kestabilan politik penting untuk menarik minat pelabur asing ke negara ini.

"Kebelakangan ini kita dilihat tak ubah seperti negara jiran di utara dan selatan kerana kita selalu tuduh menuduh dalam politik serta membangkitkan isu remeh temeh, kelebihan kita tak wujud lagi ..ramai pelabur beralih melabur ke Laos dan Vietnam dan negara lain, ini merugikan kita.

"Itu sebabnya kerajaan perpaduan kalau dibincangkan secara ikhlas oleh semua pihak maka ia boleh membantu pertumbuhan ekonomi dan semua orang dapat hidup senang walaupun dalam krisis ekonomi dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis bersama industri Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini yang dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara PAS dengan Umno yang dicadangkannya sebelum ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Mukhriz berkata sekiranya Ummo dan PAS dapat bekerjasama mewujudkan kerajaan perpaduan, perihal kaum selain Melayu akan disisihkan tidak mungkin berlaku.

"Itu tak akan terjadi...dari dulu lagi sebelum merdeka kita dah mengamalkan pendekatan toleransi kepada semua warganegara, jadi jangan pertikaikan dengan penggabungan politik Melayu ini akan memudaratkan kaum lain," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain