suria

Seorang lelaki cedera di leher akibat ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sempat menjerit ke arah dua beradik sebelum melepaskan tiga das tembakan terhadap mereka yang ketika itu sedang memasang banner di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru di sini.

Kejadian pada 12.10 malam tadi menyebabkan mangsa Mohamad Mohd Radzi, 40, cedera akibat terkena peluru di bahagian kiri leher.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supt Abdul Rahim Othman berkata lelaki berumur 30an itu dipercayai datang dengan berjalan kaki sebelum menghampiri mangsa dan adiknya.

"Suspek sempat menjerit 'hoi' ke arah dua beradik itu sebelum melepaskan tiga das tembakan dari jarak dekat," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hari ini.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri menggunakan motosikal jenis Yamaha Lagenda milik mangsa yang diletakkan berhampiran tempat kejadian.

Adik mangsa iaitu Mohd Arif Mohd Radzi, 37, bagaimanapun terselamat apabila sempat menyorok di belakang tiang lampu. "Suspek dipercayai menggunakan revolver dan motif kejadian masih disiasat dan mangsa kini sedang dirawat di Hospital Ampang serta berada dalam keadaan stabil," kata Abdul Rahim. Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi IPD Cheras di talian 03-91452222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain