suria

Perjuangan masih belum tamat - Murugiah

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata perjuangan untuk mempertahankan jawatannya selaku Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sah masih belum selesai.

Beliau berkata meskipun Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengiktiraf Datuk M. Kayveas sebagai presiden yang sah sementara menunggu siasatan berhubung dakwaan ketidakpatuhan terhadap peraturan dan undangundang parti, namun itu bukanlah satu keputusan yang muktamad.

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa kenyataan ROS bahawa Datuk M. Kayveas merupakan Presiden PPP sementara menunggu siasatan ROS selesai tidak bermakna bahawa ROS mengesahkan atau menghalalkan kesemua kesalahan yang dilakukan oleh kepimpinan PPP di bawah Datuk M. Kayveas.

"Kenyataan ROS tidak bermakna ROS telah menutup kes ini atau siasatan dihentikan. Saya amat yakin ROS tidak bercadang untuk menghalalkan kesalahan-kesalahan ini.

Kesalahan-kesalahan ini perlu disiasat sebelum mencapai keputusan muktamad.

Justeru saya ingin nasihatkan Datuk M. Kayveas bahawa perjuangan ini masih belum tamat lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Murugiah berkata antara 11 aduan yang dikemukakan ekoran jelas melanggar Akta ROS dan perlembagaan parti termasuklah tidak menghantar penyata tahunan dan kewangan PPP selama tujuh tahun sejak 2002.

Aduan itu juga antara lain mendakwa bahawa Kayveas gagal mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) PPP tidak melebihi tempoh 18 bulan dari tarikh 21 Oktober 2007 iaitu tarikh akhir AGM PPP.

Selain itu, Murugiah juga mendakwa bahawa Kayveas pernah didenda RM5,000 dan mengikut Seksyen 9(1)(b) Akta Pendaftar Pertubuhan Malaysia 1996 yang menyebut bahawa mereka yang didenda melebihi RM2,000 di bawah manamana undang adalah tidak layak memegang apaapa jawatan dalam manamana pertubuhan berdaftar.

"Usahlah anggap yang kesalahankesalahan yang dilakukan oleh kepimpinan anda (Kayveas) telah dihalalkan oleh ROS.

Perjuangan belum tamat dan saya akan teruskan perjuangan ini sehingga ahli-ahli PPP mendapat keadilan," katanya.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar di Pejabat PPP Wilayah Persekutuan, Ketua PPP Bahagian Lembah Pantai M. Moorthi hari ini mendakwa telah dipaksa untuk menyokong Murugiah sebagai Presiden baru PPP.

"Saya berasa kecewa dengan apa yang saya buat (menyokong Murugiah) dan ini merupakan satu kesilapan besar saya. Saya dan anggota PPP di bahagian saya akan bagi sokongan penuh kepada Kayveas. Justeru saya ingin balik semula kepada parti dan akan menyokong penuh kepimpinan presiden," katanya.

Beliau mendakwa membuat pengakuan berkenaan Selasa lepas selepas menerima panggilan dari Murugiah yang ingin bertemu dengannya di Biro Pengaduan Awam di Batu Muda, Sentul. BERNAMA

Artikel Lain