suria

Najib iktiraf Kayveas sebagai Presiden PPP

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyampaikan ucapan perasmiannya sempena Perhimpunan Agung Tahunan ke-56 Parti Progresif Penduduk di PWTC.
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyampaikan ucapan perasmiannya sempena Perhimpunan Agung Tahunan ke-56 Parti Progresif Penduduk di PWTC.
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyampaikan ucapan perasmiannya sempena Perhimpunan Agung Tahunan ke-56 Parti Progresif Penduduk di PWTC.

KUALA LUMPUR: Para penyokong Datuk M. Kayveas berada di puncak kegembiraan hari ini apabila pemimpin mereka diiktiraf sebagai presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengiktirafan itu disuarakan oleh Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) semasa beliau merasmikan Mesyuarat Agung Ke56 PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

PPP adalah anggota komponen BN.

Apabila Najib menyebut, "Yang Berbahagia Datuk M. Kayveas, Presiden PPP", dewan persidangan yang dipenuhi lebih 4,000 anggota perwakilan dan 2,600 pemerhati, bergema dengan tepukan bergemuruh, sambil semua hadirin bangun serentak sebagai tanda meraikan kemenangan pemimpin mereka.

Kayveas dan Senator Datuk T. Murugiah kini berbalah tentang jawatan presiden PPP.

Murugiah, yang menyandang jawatan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden PPP pada apa yang didakwa sebagai Mesyuarat Agung Luar Biasa PPP pada 24 Mei, manakala Kayveas pula menang tanpa ditandingi sebagai presiden parti itu bagi penggal lima tahun kali keempat berturutturut pada hari penamaan calon pada 30 Mei.

Murugiah bersumpah untuk berjuang habishabisan bagi mempertahan jawatannya dan membawa keadilan kepada anggota PPP.

Puak yang menyokong Murugiah tidak mengiktiraf keputusan pendaftar pertubuhan (ROs) yang mengisytiharkan Kayveas sebagai presiden PPP yang sah.

Dalam ucapan dasarnya, Kayveas berikrar memberi sokongan dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada BN dan kepimpinannya yAng diterajui oleh Najib serta timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kayveas berkata perspektif orang ramai bahawa PPP sebuah parti yang lemah, adalah silap kerana parti berkenaan sebenarnya kuat dan menuju ke jalan yang betul.

Katanya PPP menyokong penuh konsep 1Malaysia yang dianjurkan oleh Najib.

"Konsep ini tidak mungkin dapat dilaksanakan oleh satu msyarakat saja, tapi kita kena berfungsi sebagai satu keluarga.

"Kita perlu memiliki persamaan dengan sedapat yang mungkin. Perlu ada keseimbangan antara kawasan bandar dan luar bandar. Setiap orang perlu memiliki perasaan kasih sayang," katanya.

Sambil meminta kerajaan mengetepikan soal bangsa, Kayveas berkata: "Mulai sekarang, PPP tidak akan lagi menggunakan perkataan "kaum", sebaliknya akan hanya merujuk parti itu sebagai "sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia", bukan lagi parti pelbagai kaum atau tidak berasaskan kaum".

Sementara itu, Kayveas menyelar parti pembangkang yang sengaja menyebabkan pilihan raya kecil perlu diadakan, sedangkan wang yang dibelanjakan bagi mengadakan pilihan raya kecil berkenaan, boleh digunakan bagi membina rumah kos rendah untuk golongan miskin.

Beliau juga mengulangi pendirian parti itu yang mahukan kerajaan memperkenal bahasa ibunda sebagai mata pelajaran wajib di semua sekolah kebangsaan.

Mengenai biasiswa, beliau berkata pemberiannya perlu berasaskan merit dan rakyat Malaysia tidak sewajarnya dibiarkan beranggapan mereka menjadi mangsa penindasan sejak kecil lagi kerana perasaan tidak puas hati ini akan berakar umbi di hati mereka hingga mereka dewasa.

"Oleh itu, manamana dasar yang mempunyai walaupun sedikit unsur penindasan, perlu diubah dengan segera," katanya.

Kayveas juga meminta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan faedah bagi anggotanya yang terlibat dengan kemalangan selepas waktu bekerja.

Beliau turut meminta pihak berkuasa menyiasat dengan terperinci kes mereka yang meninggal dunia semasa berada dalam tahanan polis dan mengheret mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian, ke muka pengadilan.

"Ini bagi memelihara integriti dan pendirian pasukan polis yang tidak menyebelahi manamana pihak," katanya. BERNAMA

Artikel Lain