suria

Mesin dan 20,000 DVD cetak rompak dirampas

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) berjaya menumpaskan sindiket pengeluar dan pengedar cakera video digital (DVD) cetak rompak dalam serbuan di Subang dan Sungai Buloh, semalam dan merampas barangan bernilai kira-kira RM8 juta.

Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasanya Mohd Roslan Mahayudin berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Subang Jaya pada pukul 9.30 pagi manakala serbuan kedua di sebuah kilang di Kampung Jaya Industrial, Sungai Buloh pada 6.30 petang.

"Dalam serbuan pertama pihak kami berjaya merampas sebuah mesin memproses DVD namun tiada kepingan DVD siap yang ditemui," katanya kepada pemberita di Kampung Jaya Industrial, Sungai Buloh di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan kedua, KPDN&HEP merampas tiga buah mesin dan lebih 20,000 keping DVD yang telah siap diproses. Katanya, premis itu dipercayai berselindung di sebalik sebuah kilang membuat plastik bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kita tidak menolak kemungkinan keduadua kilang terbabit ada kaitan berdasarkan stuktur dan pintu keluarmasuk yang menghubungkan kedua-dua kilang berkenaan," katanya.

Mohd Roslan berkata kebanyakan DVD yang dirampas terdiri daripada pelbagai jenis DVD permainan komputer.

"Selain itu, kita juga turut menemui 82 beg yang mengandungi polycarbonate iaitu bahan utama membuat cakera optik ini yang mana berat setiap satu beg berkenaan mencapai 25kg," katanya.

Katanya, tiada tangkapan dibuat dalam keduadua serbuan berikutan pemilik dan pekerja premis sempat melarikan diri kerana telah dapat menghidu kehadiran pihak berkuasa lebih awal.

"Kesemua barang yang dirampas bernilai kirakira RM8 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Cakera Optik 2000, yang membawa hukuman denda RM250,000 atau penjara tiga tahun, atau keduaduanya sekali jika sabit kesalahan," kata Mohd Roslan. BERNAMA

Artikel Lain