suria

Kapal terbakar di Tanjung Karang, 13 anak kapal diselamatkan

PELABUHAN KLANG: Sebuah kapal "bartertrade" Indonesia terbakar sebelum karam di perairan Tanjung Karang petang tadi tetapi kesemua 13 anak kapalnya berjaya diselamatkan sekumpulan nelayan yang berada di perairan tersebut. Pegawai Pemerintah Markas Operasi Wilayah 1 Pelabuhan Klang DSP Marzuki Ismail berkata bilik operasi Pangkalan Marin Pelabuhan Klang mendapat panggilan kirakira pukul 7.15 malam berhubung kejadian itu.

Beliau berkata pasukan penyelamat polis marin yang tiba kira-kira 8.20 malam di tempat kejadian bagaimanapun mendapati kesemua 13 mangsa telah diselamatkan dan berada di dalam bot nelayan berkenaan.

Marzuki berkata kapal KM Cristal Indah bertolak dari Pelabuhan Klang kirakira pukul 1 tengah hari sebelum berlaku kebakaran yang bermula daripada enjin kapal berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang.

Beliau berkata muatan kapal iaitu bijih plastik hancur untuk dikitar semula dipercayai menyebabkan api cepat merebak dan memaksa kesemua anak kapal yang terdiri daripada seorang tekong dan 12 awakawak terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.

"Kesemua mereka terjun sehelai sepinggang dan gagal menyelamatkan sebarang dokumen peribadi," katanya.

Semua 13 anak kapal itu dikenali sebagai Rusli (tekong), Sastrawana, Dadang, Edwin, Boy Admiral, Sarman, Saparruddin, Sofyan, Bahrum, Denson Simanjuntak, Nurlan Sirait, Muchlis dan An Nawawai, berasal dari Tanjung Balai, Indonesia dan berumur lingkungan 22 hingga 54 tahun.

Kesemua mangsa kini berada di bilik operasi Pangkalan Marin Pelabuhan Klang sementara menunggu untuk diserahkan kepada ejen perkapalan mereka. BERNAMA

Artikel Lain