suria

Dua terbunuh akibat serangan pemberontak di Narathiwat

BANGKOK: Dua orang terbunuh dan kira-kira 20 yang lain cedera apabila pemberontak menyerang pengawal sukarela dan meletupkan bom yang diletakkan dalam sebuah kereta di daerah Jeringa, Narathiwat, kawasan bergolak di Selatan Thailand pada Ahad.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian yang berlaku sekitar tengah hari itu, sekumpulan lelaki terlebih dahulu menembak dua pengawal sukarela di bandar Jeringa.

Seorang daripada pengawal itu meninggal dunia di hospital manakala seorang lagi cedera.

Beberapa minit kemudian, pemberontak meletupkan 50kg bom yang diisi dalam tangki gas dan diletakkan dalam sebuah kereta yang diletakkan di depan kedai farmasi.

Bom itu diletupkan menggunakan telefon dan terkena polis dan penduduk tempatan yang berkumpulan di tempat kejadian tembakan itu, katanya.

Letupan kuat itu membunuh pemilik kedai farmasi itu dan mencederakan 18 yang lain termasuk seorang wanita mengandung enam bulan dan anaknya.

Ia turut merosakkan 10 buah kereta dan beberapa kedai dan rumah yang terletak dalam jarak 30m.

Empat hari lepas, dua guru, seorang daripadanya mengandung lapan bulan, ditembak mati di Chanae, Narathiwat.

Lebih 3,500 orang terbunuh sejak Januari 2004 apabila kumpulan pemisah menyambung kempen bersenjata mereka untuk menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah yang penduduknya majoriti Islam iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani.

Bangkok telah mengerahkan lebih 20,000 anggota tentera untuk menamatkan pergolakan itu tetapi berdepan kesukaran kerana kumpulan pemisah berkenaan menggunakan taktik gerila iaitu meletupkan bom di tepi jalan raya, khianat dan tembakan. BERNAMA

Artikel Lain