suria

Penduduk DUN Manek Urai mahu sistem pengangkutan diperbaiki

KUALA KRAI: Pilihan raya kecil yang bakal diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, di sini bulan depan dilihat sekali lagi memberi harapan baru kepada penduduk di kawasan berkenaan yang mendambakan kemudahan asas yang lebih sempurna setaraf dengan kawasan bandar.

Ratarata penduduk yang ditemui berkata, meskipun terletak di kawasan luar bandar dan kerajaan persekutuan dilihat tidak pernah mengabaikan penduduk di DUN berkenaan dengan adanya sekolah, klinik kesihatan, hospital dan perpustakaan desa, namun apa yang dikesalkan penduduk, masalah kurang kemudahan pengangkutan awam, jalan raya yang tidak dinaik taraf serta sistem perparitan tidak teratur sering dipersoalkan.

Tinjauan Bernama di sembilan kawasan di DUN berkenaan mendapati keluhan penduduk sememangnya berasas apabila jalanjalan kampung kebanyakannya begitu sempit dan tidak dinaik taraf, menyukarkan aktiviti seharian penduduk malahan jalan pertanian pula tidak diselenggara dengan baik dan sering mengundang bahaya kepada penduduk kampung.

Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Mohd Zulkifli Omar berkata, kebanyakan penduduk di DUN berkenaan terlibat dan bekerja dalam sektor pertanian menyebabkan kemudahan jalan yang baik dan sempurna amat diperlukan.

"Kemudahan jalan sememangnya menjadi keperluan yang sangat penting untuk penduduk kerana mereka menggunakan jalan untuk berulang alik ke kebun mereka setiap hari dengan menaiki motosikal ataupun basikal, jalan yang sempurna akan memudahkan mereka dan mengurangkan risiko bahaya," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, penduduk bukan mahu menidakkan bantuan yang diberi kerajaan persekutuan dengan menubuhkan keperluan wajib seperti sekolah dan hospital tetapi penduduk merasa seolaholah dipinggirkan daripada arus pembangunan ekoran kemudahan asas yang lebih penting dalam memudahkan urusan seharian penduduk itu tidak dilaksanakan.

Pengerusi Rukun Tetangga Manek Urai, Ghazali Omar berkata, jalanjalan kampung di kawasan berkenaan tidak pernah diperbaiki dan dinaik taraf dengan sewajarnya sebaliknya hanya diturap ala kadar oleh pihak berwajib sekiranya penduduk membuat aduan kerosakan jalan.

"Sebaik-baiknya jalanjalan kampung yang begitu sempit sehingga nak berselisih kereta pun tidak boleh ini sudah diperbesar atau diluaskan.

"Seingat saya jalanjalan kampung ini sudah wujud sejak tahun 1990an lagi tetapi sejak dulu juga tak pernah dibaiki, kalau rosak pun asyik diturap sahaja, sedangkan penduduk sering menggunakan jalanjalan berkenaan terutama jalan yang menjadi alternatif ke Dabong dan Jeli," katanya.

Beliau berkata, bukan masalah kemudahan jalan sahaja yang sering dipersoalkan penduduk, tetapi juga sistem perparitan di kampung itu yang didapati tidak teratur apatah lagi kebanyakan kampung sering dilanda banjir setiap tahun. "Bukan masalah jalan rosak, sempit, sistem perparitan tidak sempurna sahaja bahkan jambatan yang uzur juga tidak diselenggara dan hampir roboh terutama jambatan yang menjadi laluan alternatif penduduk kampung ke Dabong dan pelajar sekolah berulang alik saban hari," kata Ghazali.

Kebanyakan penduduk sudah kecewa dan jemu kerana setiap kali permasalahan yang sama dibangkitan, sering dipandang sepi pihak berwajib apabila tanpa adanya penyelesaian dan tindakan yang diambil.

Penghulu Kampung Peria, sebuah perkampungan di DUN berkenaan, Khairi Yunus pula membangkitkan permasalahan berkenaan landasan kereta api.

Beliau berkata, landasan yang uzur serta ketiadaan jejantas untuk menyeberangi landasan, satu lagi permasalahan yang tidak boleh dipandang remeh.

"Kereta api menjadi pengangkutan awam utama penduduk untuk ke Kota Baharu kerana ia memudahkan dan menjimatkan kos perjalanan berbanding menaiki kenderaan seperti teksi mahupun bas.

"Tetapi, penduduk sering berdepan risiko bahaya lebih-lebih lagi kanak-kanak kerana selain landasan yang uzur dan boleh rosak bilabila masa, landasan itu juga tidak berpagar," katanya.

Beliau berkata, landasan kereta api itu turut memisahkan Balai Polis Manek Urai dan juga masjid menyebabkan penduduk tiada pilihan lain untuk terus menggunakan laluan itu meskipun berdepan risiko bahaya.

"Sebab itulah kita minta pihak wajib buat lintasan berpagar di kawasan landasan kereta api bagi mengelakkan risiko bahaya kepada penduduk terutama kanakkanak yang tidak tahu apaapa dan sering melintas tanpa menyedari kehadiran kereta api," katanya.

Kawasan N41 Manek urai terbahagi kepada sembilan kawasan iaitu iaitu Manek Urai Lama, Manek Urai Baru, Chuchuh Puteri, Temalir, Sungai Sok, Peria dan Lata Rek.

Kampung Manik Urai Baru, Manik Urai Lama, Chuchuh Puteri serta Kampung Laloh antara kampung yang mempunyai bilangan penduduk yang paling ramai.

Kira-kira 90 peratus penduduk di kawasan DUN itu bekerja sebagai penoreh getah dan selebihnya sebagai petani dengan pendapatan sebulan masih di paras miskin tegar iaitu RM500 sebulan. BERNAMA

Artikel Lain