suria

PAS Pusat tolak bincang usul beri 3 jawatan tertinggi kepada ulama

SHAH ALAM: PAS Pusat telah menolak daripada membincangkan usul Dewan Ulama yang mahukan tiga jawatan utama parti itu iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan satu kerusi Naib Presiden hanya disandang oleh golongan ulama.

Ia merupakan salah satu daripada dua usul ditolak oleh Jawatankuasa Usul PAS Pusat.

Satu lagi adalah usul yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Pusat berkaitan dengan pelantikan Pesuruhjaya PAS negeri.

Usul berkaitan peruntukan tiga jawatan berkenaan telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Ulama PAS Pusat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Usul, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan keputusan tersebut.

Jawatankuasa itu bermesyuarat malam tadi untuk memutuskan berkaitan dengan usul-usul yang diluluskan oleh sayap Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat semalam.

"Tak diterima untuk muktamar kerana tak memenuhi kriteria usul. Usul yang bersifat memerlukan pindaan perlembagaan tidak dibawa ke muktamar," katanya.

Muktamar PAS Pusat dijadual membahaskan tiga usul utama Ahad ini.

Menurut Mahfuz, usul-usul yang menyentuh pindaan perlembagaan perlu diteliti tentang kesan perspesi terhadap parti.

"Oleh itu ia akan dibincangkan selepas muktamar," katanya.

Usul itu dibawa oleh Terengganu ketika tercetusnya polemik berkenaan peranan golongan ulama dan profesional dalam PAS.

Ia mendesak PAS Pusat memperbaharui iltizam untuk mengekalkan konsep kepimpinan ulama dalam menerajui kepimpinan dan perjuangan parti.

Semalam, wakil Dewan Ulama PAS Terengganu, Nik Masri Nik Malik berkata, usul itu dibuat berikutan kesedaran bahawa ulama adalah golongan yang mempelopori penubuhan PAS dan menerajui kepimpinan utamanya sejak 27 tahun lalu.

Usul tersebut adalah satu daripada empat usul yang diluluskan dalam Muktamar Dewan Ulama semalam.

Mengenai tiga usul yang bakal diputuskan Ahad ini, Mahfuz berkata, pihaknya akan menyentuh soal liberalisasi perkhidmatan 27 subsektor dan keperluan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, integriti sistem kehakiman dan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matemarik dalam Bahasa Inggeris.

Artikel Lain