suria

Kastam rampas 1,000 anak penyu diseludup dari Singapura

CHENNAI: Kastam Chennai menahan seorang warga India yang sering berkunjung ke Malaysia dan Singapura kerana didapati menyeludup 1,000 anak penyu dan 25 ikan hiasan dari Singapura.

Para pegawai Kastam Chennai (Lapangan Terbang) menahan Abdul Wahab, 35, dari Kolathur (di selatan India), apabila dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna bersama barang yang diseludupnya itu pada 4 Jun.

"Kami memintas penumpang berkenaan di lorong "Green Channel kerana mengesyakinya membawa barang larangan.

"Penumpang ini tiba dari Singapura dan pemeriksaan yang dilakukan terhadap bagasinya menjumpai 25 ikan hiasan hidup, yang dibungkus dengan polythene dan diisi air dan oksigen serta 1,000 anak penyu hidup yang diisi dalam empat bakul plastik merah," kata Pesuruhjaya Kastam (Lapangan Terbang) R. Periasami.

Beliau berkata ikan dan anak penyu itu bernilai lebih RM6,700.

Apabila dihubungi Bernama, beliau berkata suspek mungkin diupah oleh sindiket yang menjalankan kegiatan menyeludup barang larangan dari sesebuah negara ke negara lain.

"Ini bukan kali pertama kami menahan orang yang membawa barang larangan. Penumpang terbabit akan didenda kerana melakukan kesalahan itu sebab dia tidak memiliki dokumen sah," katanya.

Pengimportan ikan hiasan dan penyu hidup perlu mendapat permit daripada Ketua Pengarah Perdagangan Asing (DGFT) dan Jabatan Kuarantin Haiwan.

Anak penyu dan ikan yang dirampas itu diarah dikembalikan ke Singapura. BERNAMA

Artikel Lain