suria

Tiga kes baru Influenza H1N1 dilaporkan stabil

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa ketigaketiga pesakit baru yang disahkan Influenza A(H1N1) semalam, masih di rawat dan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata sehingga kini kes sah Influenza A(H1N1) import di negara ini masih kekal seramai lima orang. Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga lagi kes jangkitan virus influenza A(H1N1).

Kes pertama H1N1 yang dilaporkan semalam melibatkan seorang penuntut berusia 23 tahun yang baru balik dari Amerika Syarikat menaiki pesawat Malaysia Airlines MH091 pada Isnin lepas.

Penuntut berkenaan tidak mengalami demam semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi mula demam dan batuk dua hari kemudian.

Dua lagi pesakit adalah warganegara Jerman merupakan penumpang pesawat AirAsia AK702 dari Singapura ke Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Mereka yang masingmasing berusia 30 dan 32 tahun bertolak dari Jerman untuk melancong di Singapura dan kemudian berkunjung ke negara ini semalam dan menunjukkan tanda-tanda demam selepas tiba di Kuala Lumpur.

Penuntut berkenaan telah menerima rawatan antiviral di Hospital Tuanku Jaafar Seremban manakala dua lagi pesakit lelaki yang merupakan warganegara Jerman menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata kini seramai 71 daripada 276 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH091 dikesan berada di Malaysia manakala 20 daripada 78 penumpang dan anak kapal pesawat AK702 juga berjaya dikesan.

"Kesemua mereka akan diletakkan di bawah kuarantin rumah sehingga Isnin ini bagi MH091 dan 10 Jun bagi pesawat AK702," katanya.

Seramai 63 kontak sedang di bawah kuarantin rumah dan kesemua mereka dilaporkan dalam keadaan sihat tanpa gejala jangkitan Influenza A(H1N1).

Mereka yang dikuarantin itu, dua daripadanya ialah kontak kes Hong Kong yang tamat hari ini, selain 35 adalah kontak kepada kes ketiga dan 26 adalah kontak kes keempat dan kelima, katanya.

"Pengesanan penumpangpenumpang lain sedang diteruskan. Kementerian Kesihatan memohon kerjasama semua penumpang dan anak kapal yang terlibat untuk menghubungi KKM (Kementerian Kesihatan) melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk membolehkan kami memberikan nasihat kesihatan termasuk keperluan kuarantin rumah," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sehingga 12 tengah malam tadi, sejumah 22 notifikasi kes yang mempunyai tanda jangkitan influenza sekembali melawat negara yang terlibat dengan wabak itu diterima dari seluruh negara termasuk dua kes yang disahkan sebelum ini.

Katanya, daripada 22 kes itu, dua telah disahkan positif terhadap wabak itu, 12 adalah negatif dan lapan masih menunggu keputusan.

Sehingga kini, jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana mendapat simptom jangkitan Influenza selepas melawat negara yang terlibat ialah sebanyak 433 kes. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain