suria

Sistem pendidikan alami transformasi - Muhyiddin

KENINGAU: Kerajaan sedang melaksanakan transformasi pendidikan kebangsaan yang memberi penekanan kepada usaha membangunkan potensi pelajar dalam pelbagai bidang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini termasuk memperkenalkan sistem taksiran baru bagi mengukur keupayaan seseorang murid dengan mengambil kira pencapaian mereka dalam aspek kurikulum dan kokurikulum, kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, semasa merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri Sabah di Sekolah Menengah Ken Hwa dekat sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah membelanjakan RM440.8 juta bagi membiayai pelbagai projek pendidikan luar bandar di Sabah manakala RM10.9 juta disediakan dalam pakej rangsangan ekonomi pertama untuk kerja menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara kemudahan sekolah di negeri itu.

Katanya peruntukan tambahan sebanyak RM7.1 juta telah diluluskan untuk program pembangunan pendidikan di Sabah menerusi pakej rangsangan ekonomi kedua.

"Ini membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memajukan pendidikan di Sabah tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Muhyiddin berkata sebanyak 232 unit rumah guru di Sabah dijangka siap pada akhir RMK9.

Ini, katanya, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjaga kebajikan guru, dan dengan adanya kemudahan perumahan lebih baik dan dekat dengan sekolah, ia memudahkan guru melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap lagi.

"Kerancakan pembangunan fizikal perlu dipastikan bergerak seiring dengan perkembangan intelek, rohani, emosi dan jasmani murid dan di sinilah letaknya peranan guru bagi mengisi pembangunan pendidikan dalam membangunkan insan yang seimbang sejajar dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

"Tidak ada gunanya kita memiliki bangunan dan kemudahan pendidikan yang hebat jika kita gagal untuk membangunkan potensi murid-murid secara seimbang," kata Muhyiddin. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain