suria

PBT diarah periksa semua bangunan dan struktur baru - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini membuat pemeriksaan terhadap semua bangunan dan struktur baru yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mengelak sebarang kemalangan.

Beliau berkata PBT perlu memastikan bangunan seperti sekolah dan dewan menepati spesifikasi binaan dan selamat untuk digunakan.

"Segala kecacatan kepada bangunan hendaklah dilaporkan dan langkahlangkah membaikpulih perlu diambil segera untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad turut mengarahkan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim supaya membuat pemeriksaan segera terhadap tiang struktur menara lampu limbah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana binaan di stadium berkenaan sudah terlalu lama dan ia bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

"Begitu juga dengan struktur atap grand stand Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan binaan lain dalam kawasan bandar raya yang agak sensitif dan menjadi tumpuan ramai (perlu dibuat pemeriksaan segera)," katanya.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kini kembali menjadi gelanggang untuk pelbagai acara atau kejohanan berikutan Stadium Sultan Mizan Zainail Abidin di Gong Badak runtuh tiga hari lepas (Selasa).

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, sebahagian struktur bumbung di tempat duduk utama, termasuk pentas diraja Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang keseluruhan pembinaannya bernilai RM292 juta di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak dekat sini, ranap.

Stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang itu dirasmikan Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas dan yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain