suria

Lelaki diburu polis berjaya ditahan

KUALA LUMPUR: Setelah hampir lima tahun diburu polis atas kesalahan memiliki dadah, seorang lelaki akhirnya ditahan semalam di Puchong dan polis turut merampas dua pucuk senjata api serta beberapa senjata tajam di rumahnya.

Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di kawasan perumahan Taman Tan Yew Lai, Jalan Puchong di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata hasil pemeriksaan ke atas rumah suspek, polis menemui pelbagai senjata termasuk dua pucuk pistol jenis Llama dan Revolver beserta 39 butir peluru.

"Turut ditemui tiga bilah parang yang satunya berukuran 37.5 inci dan dua lagi berukuran 40.5 inci. Kami juga merampas tiga batang besi yang diruncingkan hujungnya, sebilah kapak, sebatang rotan dan T baten," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Wan Abdul Bari berkata polis turut merampas dua wakie talkie, telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Iswara biru yang dilapor hilang di Pandan Indah.

Sementara itu dalam kes berasingan, tiga lelaki berusia antara 20 dan 29 tahun ditahan polis atas kesalahan meragut menggunakan kereta di sekitar ibu negara pada 29 Mei lepas.

Beliau berkata ketigatiga suspek dipercayai terlibat dalam 19 kes samun dan 11 daripadanya dilapor di kawasan Brickfields. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain