suria

Laporan awal kes bumbung stadium runtuh dalam masa sebulan - Shaziman

RUNTUH ...Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat keluar dari kawasan runtuhan bagi menjalankan siasatan punca bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di Kuala Terengganu Selasa lalu. Foto UTUSAN.
RUNTUH ...Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat keluar dari kawasan runtuhan bagi menjalankan siasatan punca bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di Kuala Terengganu Selasa lalu. Foto UTUSAN.
RUNTUH ...Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat keluar dari kawasan runtuhan bagi menjalankan siasatan punca bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di Kuala Terengganu Selasa lalu. Foto UTUSAN.

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa penyiasat bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat kejadian bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu, Selasa lepas, akan mengeluarkan laporan awal kes itu dalam masa sebulan.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata laporan lengkap mengenai insiden itu akan dikemukakan kepada Kabinet dalam masa enam bulan.

"Tujuan penubuhan jawatankuasa ini ialah mengenal pasti puncapunca runtuhan, bukannya nak mencari siapa yang bersalah dalam hal ini.

"Dari situ, ia akan mengambil tindakan, memberi cadangan dan langkahlangkah yang perlu diambil untuk mengelak kejadian sebegitu berulang," katanya kepada pemberita di sini, ketika diminta mengulas perkembangan terbaru siasatan terhadap stadium bernilai RM570 juta itu.

Jawatankuasa itu juga diarahkan supaya mengemukakan laporan bulanan kepada kementerian tersebut bagi memantau perkembangan kerja (siasatan) yang dipertanggungjawabkan, katanya.

Shaziman berkata jawatankuasa itu terdiri daripada 10 anggota bebas yang juga merupakan pakar dalam industri pembinaan iaitu dari Jabatan Kerja Raya, Lembaga Jurutera Malaysia, Institusi Jurutera Malaysia, Malaysia Structural Steel Association, Lembaga Arkitek Malaysia, Institution of Structural Engineers Malaysia, Jabatan Audit Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan Institut Pengajian Tinggi.

"Jawatankuasa ini lengkap kerana ia terdiri daripada mereka yang mempunyai kewibawaan dalam kepakaran masingmasing dan berupaya untuk memberi pandangan dan syor-syor kaedah pembaikan stadium ini.

"Jawatankuasa itu juga akan diberi kuasa melantik perunding untuk membantu siasatan mereka dengan syarat mereka perlu maklumkan kepada Kementerian Kerja Raya, konsultan mana yang dilantik," katanya.

Terdahulu, semasa meninjau masalah pemendapan tanah dan keretakan di SMK Setapak Indah di sini, Shaziman berkata kerjakerja pembaikan bernilai RM2 juta itu telah bermula dan dijangka siap sebelum Oktober ini.

Katanya, ada mendapan yang berlaku sehingga satu meter tetapi beliau memberi jaminan struktur bangunan sekolah tersebut masih selamat untuk digunakan.

Lawatan Shaziman itu ialah susulan daripada lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke sekolah tersebut April lepas, dan telah mengarahkan supaya kerja pemulihan dijalankan segera.

Sekolah tersebut yang dibina atas tanah bekas lombong itu dibuka pada 2001 dan masalah mendapan mula dikesan sejak 2004. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain