suria

Samy Vellu umum pendirian berhubung calon pemilihan MIC tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini berkata beliau akan mengumumkan tidak lama lagi sama ada akan menyokong mana-mana calon atau sebaliknya dalam pemilihan parti 12 September.

"Saya sudah pun menetapkan fikiran dan akan beritahu anda semua tidak lama lagi," katanya kepada pemberita sebelum merasmikan konvensyen kepimpinan pelajar di Universiti Malaya di sini.

Samy Vellu berkata beliau telah memikirkan perkara itu secara mendalam dan berpendapat sebagai presiden parti, beliau perlu memaklumkan pendiriannya kepada perwakilan dan anggota MIC.

"Sabelum ini saya sangkakan semua calon yang berhasrat bertanding dapat duduk dan berbincang mengenai siapa yang patut bertanding jawatan mana, tetapi nampaknya semua orang membuat pengumuman mengenai jawatan yang mereka ingin tandingi," katanya.

Presiden MIC berkata beliau tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada bertanding memandangkan ia merupakan satu proses demokrasi namun menegaskan beliau perlu memaklumkan pendiriannya kepada perwakilan yang akan mengundi dalam pemilihan parti.

"Semua orang bebas untuk bertanding tetapi saya juga perlu beritahu mengenai pendirian saya," katanya tanpa menyebut bila beliau akan berbuat demikian.

Sebelum ini, Samy Vellu berkata beliau tidak akan menyokong sesiapa pun untuk mana-mana jawatan, sebaliknya akan membenarkan satu pertandingan yang "bebas untuk semua". Bagaimanapun, beliau menegaskan beliau tidak dapat meramalkan apakah pendiriannya di masa depan.

Pemilihan parti pada 12 Sept ini akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan timbalan presiden, tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti.

Bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam dan naib presiden semasa Datuk S. Sothinathan mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding jawatan timbalan presiden manakala penyandang Datuk G. Palanivel masih belum mengumumkan pendiriannya.

Seorang lagi bakal pesaing bagi jawatan itu ialah Menteri Sumber Manusia dan setiausaha agung parti Datuk Dr S. Subramaniam.

Menurut sumber parti Samy Vellu lebih menyukai pertembungan satu lawan satu bagi jawatan nombor 2 untuk memastikan parti terus bersatu. Mereka merasakan Samy Vellu bimbang sekiranya berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru, ia akan memecahbelahkan parti memandangkan akan wujud tiga atau empat puak. BERNAMA

Artikel Lain