suria

Tiga termasuk dua warga Peru ditahan bagi kes curi di lapangan terbang

SEPANG: Kegiatan licik sindiket curi beg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sejak setahun lalu tumpas apabila tiga orang termasuk dua warga Peru ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Ampang semalam.

Dalam serbuan pukul 10 malam di Pangsapuri Sri Nilam itu, polis turut merampas pelbagai barangan berharga dipercayai hasil curi bernilai RM20,000.

Ketua Polis Daerah Sepang, Supt Zahedi Ayob berkata ketiga-tiga yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun, dan dua warga Peru, masingmasing seorang lelaki berusia 40 tahun dan wanita berumur 24 tahun.

"Kami percaya sindiket ini didalangi lelaki tempatan itu yang bertindak menjadi orang tengah memasarkan barang curi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi mereka ialah mereka akan berpurapura menegur mangsa, manakala seorang lagi akan bertindak mencuri, dengan cara mengambil beg di atas troli semasa mangsa tidak menumpukan perhatian kepada barang yang dibawa. "Suspek juga adakalanya bertindak menukar beg yang dibawa oleh mangsa dengan sebuah beg kosong, dan mereka biasanya melakukan kegiatan itu semasa keadaan lapangan terbang sedang sesak dengan orang ramai," katanya.

Zahedi berkata antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu ialah beg tangan, telefon bimbit pelbagai jenama, beg pakaian, pengecas telefon bimbit dan komputer riba.

Beliau berkata polis turut menemui dua pasport antarabangsa palsu negara Peru serta Mexico yang dipercayai milik lelaki berkenaan, dan menurutnya lelaki itu pernah ditangkap dan dituduh di mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 14 November tahun lalu kerana kesalahan curi beg di kawasan Petaling Jaya, namun dibebaskan di bawah jaminan polis.

"Pasport lelaki itu ditahan di mahkamah dan beliau menggunakan pasport palsu untuk memudahkannya bergerak," katanya.

Zahedi berkata polis percaya penahanan ini dapat menyelesaikan beberapa siri kes curi beg yang dilaporkan di KLIA dan LCCT.

Katanya ketigatiga mereka kini ditahan reman selama empat hari sehingga 5 Jun ini, dan kes disiasat mengikut Sekyen 379 Kanun keseksaan kerana mencuri. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain