suria

Polis kenalpasti beberapa dalang Ah Long aktif di Johor

JOHOR BAHARU: Polis akan mengambil tindakan terhadap beberapa individu yang dikenalpasti bergiat sebagai dalang ceti haram atau Ah Long yang aktif menjalankan kegiatan itu di negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pihaknya kini sedang giat mengumpul maklumat mengenai individu terbabit dan akan menggunakan undang-undang sedia ada ke atas mereka.

"Siasatan sedang dibuat atas pelbagai sudut kerana dipercayai kebanyakan mereka terlibat dengan kegiatan jenayah lain termasuk pengedaran dadah, pelacuran dan perjudian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini. Hadir sama, Datuk Bandar Johor Baharu, Datuk Mohd Naim Nasir.

Sebelum itu, Mohd Mokhtar mengetuai operasi pembersihan iklan pinjaman Ah Long bersama polis dan Majlis Bandaraya Johor Baharu, di Taman Daya, di sini.

Beliau berkata operasi pembersihan yang turut dilakukan serentak di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah memberi isyarat kepada kumpulan Ah Long supaya menghentikan kegiatan mereka selain mendidik masyarakat supaya tidak membuat pinjaman dengan pihak terbabit.

"Kajian polis mendapati ramai yang membuat pinjaman dengan Ah Long untuk berjudi.

Jadi, kita tidak mahu mereka meneruskan pinjaman seperti ini dan dalam masa yang sama kita juga mahu memberi amaran kepada Ah Long supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap peminjam," katanya.

Sementara itu, Mohd Naim berkata pihak berkuasa tempatan memerlukan sokongan polis dan orang ramai dalam membanteras kegiatan Ah Long.

Katanya, tindakan Ah Long yang menampal poster dan pelekat iklan pinjaman di papan tanda jalan, tiang lampu dan bangunan turut mengganggu pengguna jalan raya selain memburukkan imej bandaraya ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain