suria

Najib berazam mempererat hubungan Malaysia-China

BEIJING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berikrar bahawa beliau, sebagai anakanda kepada Tun Razak Hussein yang mewujudkan hubungan diplomatik dengan China 35 tahun lalu, berazam akan membawa hubungan kedua-kedua negara itu kepada suatu peringkat yang jauh lebih baik.

Beliau berkata hubungan akrab yang wujud selama 35 tahun antara Malaysia dan China adalah berasaskan kepada keyakinan antara pemimpin keduadua negara tersebut.

"Ikatan persahabatan antara Malaysia dan China adalah berdasarkan kepada perkataan yakin. Jika Almarhum bapa saya percaya para pemimpin China, saya juga mempunyai keyakinan yang sama dengan para pemimpin (China) yang ada sekarang," katanya dalam ucapan selepas menerima anugerah ijazah Doktor Kehormat Hubungan Antarabangsa daripada Beijing Foreign Studies University (BFSU) di sini.

Najib berkata apabila ayahandanya membuat lawatan yang bersejarah ke China pada tahun 1974, beliau tidak dapat bersama lawatan itu kerana masih menuntut di universiti.

Bagaimanapun, Najib berkata beliau sempat mendengar sebuah ayat yang sangat bermakna yang dilafazkan oleh ayahandanya yang masih jelas sampai hari ini dan ia berbunyi,"saya boleh bekerja dengan (Perdana Menteri) Zhou Enlai dan saya amat menghormati beliau."

Najib berkata apabila ayahandanya menzahirkan ayat tersebut, itu menggambarkan bahawa dalam hubungan antara dua negara, ia mesti berasaskan kepada keyakinan.

"Kalau kita ada keyakinan, segala-galanya mungkin terjadi," tambah beliau.

Najib, yang disambut dengan meriah oleh kumpulan kompang dan bunga manggar pelajar BFSU, juga memetik sebuah peribahasa China yang berbunyi "Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama" dan menambah bahawa apabila ayahandanya membuat keputusan yang berani untuk mewujudkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, Tun Razak mungkin tidak memikir langkah pertama atau langkah kedua sehingga perjalanan hubungan dua hala itu sampai kepada tahap pada masa kini.

"Tapi ia memerlukan keberanian untuk membuat keputusan itu (menjalin hubungan diplomatik) dan ia merupakan keputusan yang tepat," kata perdana menteri.

Katanya, perjalanan selama ini telah sampai kepada satu keadaan di mana beliau berfikir bahawa Zhou En Lai atau ayahandanya pun tak dapat menggambarkan keadaan dunia sekarang pada 35 tahun yang lalu.

"Siapa yang dapat membayangkan negara China pada 35 tahun yang lalu dan ibu negara Beijing yang sesak dengan basikal, hari ini sesak dengan automobil yang moden dan canggih? Negara China pada ketika itu tidak siapa yang pakai lounge suit, semua pakai baju kelabu "Mao suit" mengikut pemimpin Mao Zedong. Hari ini kelihatan banyak (orang China) memakai lounge suit dengan potongan tak berbeza dari Zegna atau Cerruti," tambah beliau.

Katanya, hari ini China dianggap sebagai negara gergasi atau "kuasa ekonomi dunia" dan berpendapat bahawa tidak ada siapa pun boleh menafikan kalau dalam usaha pemulihan kemelut ekonomi dunia, peranan China amat penting dalam hal itu.

Najib juga menyentuh satu lagi peribahasa China yang berbunyi "Kalau kita minum air daripada telaga, jangan lupa orang yang menggali telaga tersebut".

Bagaimanapun, beliau membuat sedikit pengubahsuaian terhadap peribahasa itu dan mengatakan bahawa tanggungjawab beliau serta tanggungjawab pemimpin Malaysia dan China adalah untuk menggali lebih banyak lagi telaga-telaga supaya telagatelaga itu tidak akan kering tetapi akan subur dengan air yang akan mengalir untuk kebahagiaan negara Malaysia dan China.

Najib berkata, "Kita bermula sebagai sahabat dan persahabatan antara dunia Melayu dan dunia China bukanlah baru. Ia bermula semasa waktu dinasti Ming lagi semasa panglima armada Zheng He telah melawat Melaka dengan 35,000 tentera dan 300 buah kapal."

Beliau berpendapat sekiranya armada saiz sebegitu berhasrat untuk menakluki Melaka pada masa itu, langkah itu amat mudah sekali. "Tetapi negara China, tamadun China tidaklah berhasrat untuk berbuat demikian. Sebaliknya, ia menghulur tangan persahabatan dan sebab itulah selama ini pun kalau ada pihak berkata China adalah ancaman, Malaysia tidak anggap China sabagai ancaman kerana Malaysia telah menilai beberapa kisah mengenai China sejak 600 tahun dahulu."

Najib menyifatkan penganugerahan Doktor Kehormat kepada beliau sebagai lambing keakraban hubungan atau persahabatan antara Malaysia dan China.

"Saya amat terharu atas penganugerahan ini dan dikaitkan dengan sebuah universiti yang sangat terkemuka dan saya percaya hubungan ini akan kita terus manfaatkan pada masa yang akan datang.

Najib juga mengalu-alukan 60 penuntut dari negara China di BFSU yang mempelajari Bahasa Melayu dan 36 pelajar Malaysia yang mempelajari Bahasa Mandarin di BFSU.

Beliau berharap bilangan pelajar Malaysia, terutamanya pelajar Melayu, di BFSU akan bertambah sebanyak 100 peratus pada tahun depan.

Najib juga berkata beliau akan meminta anak bongsunya, yang kini mempelajari Bahawa Mandarin di Georgetown University di Washington DC, untuk datang ke BFSU selama sebulan atau dua untuk tujuan yang sama.

Beliau berpendapat bahawa "kalau kita belajar bahasa, kita akan mengenali tamadun kedua-dua bangsa dan apabila kalau kita mengenali kedua-dua tamadun itu tentu hubungan lebih akrab akan ternyata."

Najib berkata dengan usaha-usaha seperti itu, perjalanan yang bermula dengan langkah pertama 35 tahun lalu akan merupakan perjalanan yang menjanjikan seribu satu kemungkinan yang terbaik.

"Biar ijazah kedoktoran yang dianugerahkan kepada saya ini sebagai satu penyataan persahabatan daripada kerajaan dan rakyat China. Saya harap dapat bekerjasama dengan BFSU dengan para pemimpin China. Mari kita bekerjasama dan meneruskan perjalanan yang telah dimulakan 35 tahun lalu," katanya.

Najib juga menyifatkan bahawa hubungan antara Malaysia dan China adalah sangat mendalam dan peribadi baginya dan sebab itulah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dan bondanya, Tun Rahah Mohamed Noah, turut mengikuti lawatan rasminya.

Terlebih dahulu, Prof Hao Ping, Timbalan Menteri Pendidikan China merangkap Presiden BFSU, mengalu-alukan peranan dan sumbangan Najib terhadap BFSU sejak beliau menjadi Menteri Pendidikan dan mengatakan inilah lawatan keempat bagi perdana menteri kapada universiti tersebut.

Turut hadir pada upacara penganugerahan itu termasuk Puan Gu Xiu Lian, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap bagi Kongres Rakyat Kebangsaan ke-10 dan Presiden Persatuan ChinaAsean, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Luar Datuk Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Pengkutan Datuk Seri Ong Tee Keat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon serta pemimpin perniagaan dan usahawan-usahawan Malaysia.

Sebelum upacara itu tamat, sebanyak 40 penuntut Kajian Melayu BFSU menyanyikan lagu "Jalur Gemilang" dan pelajar Malaysia di BFSU menyanyikan lagu "Beijing Hwanying Nie" atau "Beijing Mengalu-alukan Kedatangan Mu". BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain