suria

Murugiah akan berjuang habis-habisan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah berkata beliau akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan jawatannya yang sah selaku Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP).

Beliau memberitahu Bernama pemilihannya sebagai Presiden PPP pada 24 Mei lalu dibuat mengikut perlembagaan parti itu dan beliau telah mengemukakan semua dokumen yang relevan kepada Pendaftar Pertubuhan untuk pengesahan.

Murugiah dan Datuk M. Kayveas, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kini masing-masing mendakwa mereka merupakan Presiden PPP yang sah.

Murugiah berkata hampir 90 peratus dari ahli PPP menyokong beliau selaku presiden yang mana ia dinafikan pula oleh Kayveas.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Pendaftar Pertubuhan belum membuat keputusan mereka berhubung kedudukan Presiden PPP.

Ketua Penerangan PPP, Datuk Samson Maman yang dikatakan menyokong Kayveas berkata, PPP akan mengadakan perhimpunan agung Ahad ini.

Murugiah berkata beliau menerima maklumat bahawa kumpulan Kayveas merancang untuk membawa pekerja kilang bagi memenuhi Pusat Dagangan Dunia Putra, venue persidangan itu dijangka diadakan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain