suria

Kerajaan masih teliti cadangan tingkat umur kelayakan mohon lesen memandu

LAHAD DATU: Kementerian Pengangkutan masih meneliti cadangan untuk meningkatkan umur kelayakan memohon lesen memandu kepada 18 tahun daripada 17 tahun sekarang, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata ini kerana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahu melihat pengguna jalan raya yang diberi lesen memandu benar-benar merupakan pemandu yang bertanggungjawab, matang dan berkebolehan.

"Pada hari ini kita melihat masalah samseng jalan raya semakin meluas dan kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja," katanya kepada pemberita semasa melawat Lapangan Terbang Lahad Datu hari ini.

Abdul Rahim berkata beliau telah meminta JPJ supaya memberi penekanan terhadap aspek kesopanan, disiplin dan tatasusila yang tinggi di jalan raya di samping meningkatkan pengetahuan calon ujian memandu mengenai undang-undang jalan raya.

Katanya unsur-unsur berkenaan perlu dimasukan di dalam kurikulum dan peperiksaan kursus pemanduan untuk mendidik calon mengenai keperluan yang mereka perlu kuasai sebelum diberi lesen.

"Bagi mengurangkan kadar kematian di jalan raya, ada tiga aspek yang penting perlu ada iaitu penguatkuasaan, kaedah pembinaan jalan raya dan yang terpenting sekali ialah soal pendidikan kepada pemandu itu sendiri," katanya.

Menurutnya, dari kajian di negara-negara maju mendapati aspek pendidikan pemandu menjadi faktor terpenting dalam kejayaan mereka mengurangkan kes kemalangan dan kematian di jalan raya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain