suria

Kayveas ingatkan Murugiah jangan campur tangan hal ehwal PPP

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah, semalam diberi amaran supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal parti itu kerana beliau bukan lagi anggota parti selepas gagal membuat rayuan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan berhubung pemecatannya.

Presiden PPP Datuk M Kayveas berkata tempoh rayuan oleh Murugiah dan enam anggota yang lain supaya dikembalikan semula ke dalam parti itu telah tamat pada 30 Mei dan oleh itu mengikut Artikel 19.3 Perlembagaan parti, mereka bukan lagi anggota parti itu.

"Nasihat saya kepada mereka dan sesiapa yang bertindak sebagai ejen yang menyokong sebarang kegiatan yang menjejaskan parti, tindakan tegas akan diambil terhadap setiap seorang daripada mereka yang masih berdegil.

"Ketujuh-tujuh mereka bukan lagi anggota PPP dan mereka diberi amaran supaya jangan masuk campur dengan hal ehwal PPP. Tiada apa cara pun bagi sesiapa yang boleh membenarkan dari segi undang-undang perhimpunan setengah jalan yang diubah menjadi mesyuarat agung luar biasa secara rahsia," kata Kayveas dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Katanya Perlembagaan PPP adalah jelas bahawa hanya Perhimpunan Agung boleh memilih Majlis Tertinggi dan Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dikatakan itu tidak boleh merebut kuasa Perhimpunan Agung PPP.

Kayveas juga berkata Perhimpunan Agung PPP ke-56 akan diadakan seperti yang dirancang Ahad ini berdasarkan kenyataan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Md Alias Kalil minggu lepas.

Menurut Md Alias, Presiden parti masih disandang Kayveas sehingga ROS menyelesaikan siasatan berhubung masalah antara Kayveas dan Murugiah.

Sementara itu, Murugiah, yang mengisytiharkan dirinya sebagai "Presiden baru PPP" berikutan mesyuarat agung luar biasa pada 24 Mei di Putrajaya, dalam sidang akhbar awal hari ini berkata beliau akan menerima keputusan laporan ROS berhubung krisis dalaman yang melanda PPP.

Murugiah berkata laporan ROS telahpun dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau sedang menunggu keputusan mereka berhubung perkara itu.

"Saya telah berjumpa Tan Sri Muhyiddin minggu lepas dan telah menjelaskan keadaan. Saya akan menerima apa jua keputusan yang dibuat ROS dan akan menerima keputusan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

"Saya tidak mahu mencampuri urusan dan tanggungjawab ROS," kata Murugiah.

Sementara itu, Muhyiddin yang diberi tanggungjawab oleh Najib untuk melihat status PPP berikutan krisis kepimpinan hari ini berkata pegawai ROS telah memaklumkan beliau bahawa mereka memerlukan masa untuk menyediakan laporan dan akan memaklumkan Najib apabila laporan itu siap.

Najib dijadualkan merasmikan Perhimpunan Agung PPP Ahad ini.

Krisis PPP mencapai kemuncaknya apabila Murugiah, yang dipecat sebagai anggota Majlis Tertinggi parti oleh Lembaga Disiplin parti kerana didakwa melakukan pelbagai kesalahan, dilantik sebagai presiden pada 24 Mei oleh 1,760 perwakilan mesyuarat agung luar biasa, yang mendakwa mewakili dua pertiga daripada cawangan PPP.

Bagaimanapun, Kayveas tetap mempertahan bahawa beliau merupakan presiden PPP yang sah dan mengkritik Murugiah kerana mengadakan mesyuarat agung luar biasa itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain