suria

Empat dicari bantu selesai kes bunuh Ah Long

PULAU PINANG: Polis sedang mencari seorang remaja berusia 15 tahun dan tiga lelaki lain bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki dipercayai Ah Long di Sungai Nibong pada Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob memberitahu pemberita di sini bahawa selain remaja itu, polis sedang mengesan Teng Kok How, 18, Hing Thean Wo, 21, Henry Tan Cheang Yu, 23, berhubung kematian Sin Chee Loon, 25, yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang akibat dipukul sekumpulan 12 lelaki selepas cuba mengutip hutang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua empat lelaki yang dicari itu telah melarikan diri.

Ayub berkata lima lelaki berusia 18 hingga 24 tahun yang ditahan secara berperingkat sejak kejadian Isnin lepas sehingga semalam kini direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes itu.

Dalam itu, Sin, dari Balik Pulau, telah pergi ke Batu Maung untuk mengutip hutang daripada seorang lelaki berusia 20an.

Dia meminta wanga yang dipinjamkan kepada lelaki itu sebanyak RM690 tetapi setelah dicampur faedah jumlahnya adalah RM2,000.

Oleh kerana ketiadaan wang, lelaki itu meminta Sin memberinya masa untuk menjelaskan hutang berkenaan, dan dua jam selepas pertemuan itu, Sin menerima panggilan daripada peminjam yang mahu berjumpanya di sebuah restoran di Batu Maung pada 4 pagi.

Semasa pertemuan itu, peminjam wang berkenaan membawa 11 rakannya dan mereka menculik Sin sebelum membawanya ke Sungai Nibong dan membelasah sehingga mengalami kecederaan parah di kepala.

Sin meninggal dunia pada 6 petang di hospital. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain