suria

Dua maut treler yang dinaiki terbalik dekat Grik

IPOH: Dua terbunuh apabila treler yang mereka naiki terbabas dan terbalik di KM 15 Jalan Pengkalan Hulu-Gerik dekat Gerik tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Mahad Nor Abdullah berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam tadi adalah pemandu treler Mohd Rizal Adnan, 37, dari Permatang Pak Maras, Penaga, Pulau Pinang dan kelindannya Borhan Sidik Mohd Zahari, 28, berasal dari Sungai Karangan, Padang Serai, Kulim.

Keduadua mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mahad Nor berkata kejadian itu berlaku ketika lori yang dipandu Mohd Rizal dalam perjalanan dari Baling ke Gerik dikatakan gagal dikawal ketika menuruni bukit lalu terbabas dan terbalik.

Akibat kejadian itu kedua-dua mangsa dihempap oleh lori berkenaan.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat keduadua mangsa yang tersepit di bawah treler berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Gerik, katanya.

Polis sedang menyiasat kejadian itu dan mayat keduadua mangsa telah dituntut oleh keluarga masing-masing hari ini untuk dikebumikan di kampung mereka.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain