suria

Lelaki mati ditetak dalam pergaduhan rebut pusaka

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki mati ditetak dengan parang selepas bergaduh dipercayai akibat perebutan harta pusaka di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nenas, dekat Pontian, di sini, hari ini.

Tahir Zainal, 41, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian Supt Muzammil Hashim ketika dihubungi berkata polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kirakira pukul 1.30 petang di rumah pusaka arwah ibu mangsa apabila Tahir dan isterinya ke rumah itu untuk menyelesaikan masalah harta pusaka bersama dua saudara terdekatnya.

Tahir yang berang apabila pintu rumah itu berkunci bertindak mengambil kuku kambing dari keretanya untuk memecahkan pintu rumah dan apabila gagal, dia mengambil kapak untuk cuba membuka pintu sambil memarahi dan mencabar saudarasaudara terdekatnya itu, katanya.

Beliau berkata tindakan Tahir menyebabkan seorang saudara terdekatnya itu bertindak mengambil sebilah parang dan sebatang tajak kelapa sawit sebelum pergi ke arah Tahir yang ketika itu ke bahagian tepi rumah untuk memecahkan pintu belakang.

"Apabila dia menghampiri Tahir, Tahir bertindak menyerang lelaki itu dengan kuku kambing menyebabkan lelaki terbabit menghayunkan parang menetak sebelah kiri badan Tahir," katanya.

Muzammil berkata lelaki terbabit kemudian menghubungi polis dan ambulans.BERNAMA

Artikel Lain