suria

Lawatan Najib dapat liputan meluas di China

BEIJING: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China bersempena sambutan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik Malaysia-China mendapat liputan meluas daripada media tempatan.

Kebanyakan akhbar China menyiarkan temubual khas media negara ini dengan beliau di Kuala Lumpur dan sebuah rencana tulisan Najib dalam blognya www.1Malaysia.com.my. tentang lawatan rasmi sulung beliau sebagai Perdana Menteri ke China. Najib dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada pukul 6.45 petang Selasa (sama dengan di Malaysia) bagi melakukan lawatan rasmi tiga hari ke China.

Dua akhbar utama berbahasa Inggeris China Daily dan Global Times menyiarkan rencana tulisan Najib itu, yang antara lain, menyebut bahawa beliau berharap hubungan dua hala Malaysia-China akan menjadi semakin kukuh dan merangsang Malaysia untuk terus maju ke arah mencapai wawasan 1Malaysia.

Najib berkata kunjungan pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke China juga bertujuan mengikut jejak langkah Allahyarham bapanya dulu kerana beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden China Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao semasa lawatan itu. Kata Najib tindakan bapanya, Perdana Menteri Malaysia kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, menjalin hubungan dua hala antara Malaysia dan China telah mencatat sejarah kerana ketika itu, China masih mengamalkan dasar pintu tertutup terhadap kebanyakan negara.

Hubungan diplomatik MalaysiaChina terjalin berikutan lawatan rasmi Tun Abdul Razak ke negara ini pada 1974.

Malaysia merupakan negara anggota Pertubuhan Negaranegara Asia Tenggara (Asean) pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China.

Kedua-dua akhbar itu menyiarkan rencana tulisan Najib dengan menggunakan tajuk "China and Malaysia: A new era of rapport" dan " China and Malaysia usher in a new era of cooperation."

Akhbar berbahasa China Xin Jing pula menyiarkan semuka penuh temubual khas bersama oleh Xinhua News Agency, People's Daily dan Xin Jing Bao dengan Najib di kediaman beliau di Sri Perdana, Putrajaya, pada 18 Mei.

Akhbar itu juga menyiarkan gambar Najib yang dirakam di pejabat beliau di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Najib akan disambut secara rasmi oleh rakan sejawatannya dari China Wen Jiabao pada majlis khas di Great Hall of the People pada petang Rabu, sebelum menghadiri mesyuarat dua hala dan jamuan negara yang dihoskan Wen Jiabao.

Semasa lawatannya, Najib dijangka melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Hu Jintao.

Dalam kenyataan baru-baru ini, China menganggap lawatan Najib sebagai penting kerana ia akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-China.

Jurucakap Kementerian Luar China Ma Zhaoxu berkata kunjungan itu juga akan mengeratkan lagi kerjasama strategik antara kedua-dua negara dan membawa hubungan China-Malaysia ke tahap lebih tinggi. BERNAMA

Artikel Lain