suria

KDN nafi dakwaan kerajaan mungkiri perjanjian perletakan senjata PKM

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan beberapa pihak kononnya kerajaan telah memungkiri perkara-perkara yang dipersetujui di dalam Perjanjian Peletakan Senjata Parti Komunis Malaysia (PKM) yang dimeterai pada 2 Dis 1989 berhubung isu Chin Peng.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman berkata seramai 442 bekas PKM memohon untuk kembali ke Malaysia, tetapi hanya 406 menghadiri temuduga yang ditetapkan kepada kesemua anggota PKM yang memohon dan memenuhi syarat diterima kembali ke negara ini.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa telah mengemukakan permohonan sehari sebelum tempoh permohonan berakhir, bagaimanapun Chin Peng tidak menghadiri proses temuduga ditetapkan pada 31 Okt 1992.

"Selepas itu dia tidak pernah mengemukakan permohonan baru sebaliknya menggunakan saluran mahkamah untuk menentukan status kewargenegaraannya.

"Tindakan itu jelas menunjukkan beliau enggan mematuhi syaratsyarat perjanjian yang ditandatangani dan juga tidak mematuhi undang-undang negara seperti mana yang dikehendaki dalam perjanjian tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengikut rekod, dalam usahanya untuk kembali ke negara ini sejak 4 Mac hingga 4 April 2005, Chin Peng telah memfailkan lima afidavit di mahkamah. Abu Seman berkata dalam kes Chin Peng, KDN berpendirian tegas dan tidak akan bertolak ansur mengenainya dan merasakan Chin Peng bukanlah wira yang patut dibela.

Terdahulu, Abu Seman mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk kempen kesedaran membanteras gejala peminjam wang tidak berlesen iaitu ceti haram atau "Ah Long".

Beliau berkata satu jawatankuasa kerja ditubuhkan untuk bertanggungjawab memastikan kempen kesedaran dijalankan secara berterusan serta tindakan penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam aspek penguatkuasaan membanteras kegiatan ah long, Abu Seman berkata Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Kewangan 2001 memperuntukkan hukuman lebih berat.

Akta itu memperuntukkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM5 juta dan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Sebelum ini mereka yang didapati bersalah hanya disabitkan hukuman di bawah Akta Peminjam Wang yang memperuntukan denda tidak kurang daripada RM20,000 atau tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak lima kes masih disiasat berhubung kes "Ah Long" termasuk kes terbaru yang membabitkan kekejaman Ah Long yang memperlakukan tiga lelaki seperti binatang dengan merantai leher dan kaki mereka kerana gagal membayar hutang, serta dikurung dalam "lokap" buatan sendiri. BERNAMA

Artikel Lain