suria

Polis cari enam termasuk ketua disyaki anggota Ah Long

SHAH ALAM: Polis sedang berusaha mencari enam lelaki yang disyaki anggota satu kumpulan Ah Long dikenali sebagai Kristal 9, bagi membantu siasatan berhubung kes mengurung, mendera dan merantai leher serta kaki tiga lelaki yang gagal membayar hutang di sebuah rumah kedai di kawasan Perindustrian Bukit Serdang dekat sini, minggu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kumpulan Ah Long itu dipercayai mula aktif sejak 2006 dan memperolehi kutipan bulanan kira-kira setengah juta daripada peminjam mereka.

Sebelum ini lima lelaki termasuk dua beradik dipercayai dalam kumpulan yang sama, ditahan di sekitar Gombak serta Ampang, dan mereka sedang ditahan reman bagi membantu siasatan.

Beliau berkata mereka yang dicari ialah Ong Leng Kok @ Franco, 32, dari Taman Cheras Indah, Kuala Lumpur yang dipercayai ketua kumpulan itu; Chan Ching Fatt @ Ah Fatt, 22, dari Jalan Klang Puchong, Puchong; Yong Hock Fai @ Alex @ Fei Kai Sau, 25, dari Taman Kosas, Ampang; dan Lee Chin Onn @ Kai Chi, 23, dari Pandan Perdana, Kuala Lumpur.

"Selain empat orang ini, ada dua lagi lelaki yang masih belum diperolehi gambarnya akan kami maklumkan kemudian, dan kesemua mereka dipercayai masih berada di dalam negara," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Khalid berkata kumpulan Kristal 9 mempunyai organisasi tersusun, di mana Franco dipercayai berperanan sebagai ketua untuk negeri Selangor, Ah Fatt dipercayai menjaga kawasan Klang, Alex yang dikatakan ganas menjaga kawasan Ampang dan Kai Chi yang dipercayai pembantu kepada Alex berperanan sebagai penculik serta membawa peminjam ke tempat kurungan.

Beliau yang meminta orang ramai tampil membantu bagi mengesan kesemua suspek turut meminta peminjam yang pernah dikurung anggota kumpulan berkenaan supaya tampil memberi maklumat kepada polis' dan beliau memberi jaminan bahawa polis akan mengambil langkah yang sepatutnya untuk memastikan keselamatan mereka tidak terancam.

Katanya siasatan polis setakat ini mendapati tidak ada peminjam yang gagal membayar hutang yang dibunuh anggota kumpulan itu dan peminjam hanya dipukul serta dan dikurung jika gagal menjelaskan pinjaman.

Mengenai tangkapan dua beradik berusia 28 dan 29 tahun di kawasan Bukit Permai, Ampang Jaya dekat sini, Sabtu lepas, Khalid berkata penahanan mereka membawa polis ke sebuah pejabat di Ampang di mana polis menemui sejumlah besar barangan termasuk dokumen dipercayai digunakan dalam kegiatan Ah Long.

"Polis menemui fail peminjam yang mengandungi borang yang perlu diisi dan ditandatangani peminjam serta salinan kad pengenalan mereka. Kami juga jumpa beberapa kereta curi di pejabat itu dipercayai digunakan untuk aktiviti Ah Long, termasuk barangbarang yang dipercayai milik peminjam yang dirampas oleh Ah Long," katanya. "Siasatan juga mendapati peminjam perlu memohon kad ATM dan Ah Long akan memegang kad itu serta mengeluarkan sendiri wang dari akaun peminjam. Setakat ini kami baru jumpa satu pejabat di Ampang dan kami harap akan jumpa lagi pejabatnya di tempat lain," katanya.

Dalam kejadian Rabu lepas, tiga lelaki dirantai pada leher dan kaki mereka kerana gagal membayar hutang, serta dikurung dalam "lokap" buatan Ah Long.

Mereka juga hanya dibekalkan dengan sebuku roti untuk setiap dua minggu dan terpaksa minum air paip dalam bilik kecil yang dilengkapi tandas, malah mereka turut dijadikan seperti hamba apabila dirotan jika cuba merayu, membuat bising atau meninggikan suara. BERNAMA

Artikel Lain