suria

Najib: Tiga langkah utama perkukuh hubungan Asean-Korea

PULAU JEJU, (Korea Selatan): Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyifatkan pemeteraian Perjanjian Pelaburan Asean-Korea yang bakal berlangsung di sini esok sebagai langkah penting untuk Asean dan Korea, hari ini menggariskan tiga langkah utama yang akan mengukuhkan kerjasama dalam kerangka kerja hubungan Asean-Korea dan rantau Asia Timur.

Perdana Menteri berkata yang pertamanya, terdapat keperluan untuk memperhebat kerjasama dan meningkatkan tahap kerjasama untuk memanfaatkan perkongsian strategik baru mereka.

Kedua, terdapat asas yang baik untuk melihat melangkaui Asean dan Korea, serta mengenal pasti langkah-langkah bagi meningkatkan kerjasama Asia Timur manakala yang ketiga, Asean dan Korea perlu bekerjasama untuk melibatkan ekonomi-ekonomi baru muncul di Asia dalam proses integrasi serantau untuk faedah Asia yang lebih luas serta sistem dagangan global, kata beliau.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian dalam ucaptama pada sesi penutup Sidang Kemuncak Perniagaan CEO AseanKorea di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Jeju, di sini hari ini.

Mengenai hubungan ekonomi Asean-Korea, Najib berkata keduadua pihak telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan mewujudkan sokongan institusi yang sewajarnya untuk memudahkan dan mengeratkan hubungan dua hala.

"Memandangkan semakin meningkatnya persekitaran persaingan yang kita kendalikan kini, kita sebagai kerajaan sewajarnya melaksanakan peranan kita supaya memudahkan barangan bergerak merentasi sempadan," katanya.

Najib berkata telah banyak yang dilakukan untuk menyokong dan memudahkan perkembangan hubungan Asean-Korea sejak 20 tahun lepas dan pemeteraian Perjanjian Pelaburan Asean-Korea esok akan melengkapkan Perjanjian Kerangka Kerja Asean-Korea untuk Kerjasama Ekonomi.

Beliau berkata melalui Perjanjian Kerangka Kerja Korea, kedua-dua pihak mewujudkan ketelusan, liberal dan memudahkan regim perdagangan dan pelaburan.

"Tahun depan kita akan melihat aliran dagangan barangan yang lebih bebas setelah Asean dan Korea menghapuskan duti import terhadap sejumlah besar produk.

"Ini merupakan satu langkah penting yang dimulakan oleh Asean dan Korea dan sektor swasta tidak seharusnya membiarkan peluang ini terlepas begitu sahaja memandangkan kerajaan telah berusaha ke arah sasaran mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif," katanya.

Najib juga menegaskan bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan di peringkat sektor swasta setelah terdapat kekurangan penglibatan yang lebih luas dalam komuniti perniagaan dalam Asean dan Korea.

"Oleh itu saya menyeru sektor swasta supaya bergerak pantas untuk merealisasi potensi dan menggunakan peluang yang bertambah daripada hubungan ini. Banyak bergantung kepada sektor swasta untuk memastikan objektif Perjanjian Kerangka Kerja Asean-Korea Untuk Kerjasama Ekonomi direalisasikan. Sebaliknya, komuniti perniagaan yang akan memberikan hasil kepada inisiatif kerajaan," kata beliau.

Najib juga berkata kini merupakan masa yang sesuai untuk membawa kerjasama dan integrasi Asean Campur satu ke tahap yang lebih tinggi memandangkan terdapat asas bagi Asean, Korea dan negara-negara Asia Timur yang lain untuk berbuat demikian.

Beliau berkata krisis kewangan dan ekonomi sekarang ini serta pengajaran daripada krisis kewangan Asian 1997 memperkukuhkan lagi kedudukan bahawa kerjasama yang lebih luas dalam ekonomi dan kewangan Asia Timur bukan lagi satu opsyen tetapi satu yang penting.

"Hari ini di bawah Inisiatif Chiang Mai, dana berjumlah AS$120 bilion untuk perjanjian tukaran diwujudkan untuk membantu negara-negara dalam kesukaran," katanya.

Najib berkata beliau berpendapat krisis dunia kini memberi peluang kepada negara-negara di rantau ini untuk bekerja ke arah mengukuhkan integrasi ekonomi Asia Timur dan kajian faktor pendasar menyumbang kepada paras impak krisis semasa.

"Apa yang telah dipelajari boleh menyumbang kepada rantau Asia Timur yang kukuh dan dinamik yang akan menyediakan pertumbuhan ekonomi bukan hanya untuk rantau ini tetapi juga bertindak sebagai pemangkin untuk pertumbuhan ekonomi dunia. Kita perlu mengukuhkan kebingkasan Asia timur. Kita perlu memanfaatkan kerjasama Asean Campur Satu untuk meningkatkan kerjasama di kalangan negara-negara Asia Timur," katanya.

Najib berkata dengan keutamaan segera adalah bagi mereka memperkukuh kerjasama dalam rantau Asia Timur, mereka juga perlu memandang berat mengenai kemunculan negara-negara lain, terutamanya di Asia yang boleh melengkapkan integrasi ekonomi Asia timur serta membuka peluang bidang baru.

Beliau juga mencadangkan penubuhan mekanisme khusus yang akan membolehkan sektor swasta menyediakan maklum balas mengenai perkara yang menghalang usaha mereka memperluaskan aliran perlaburan dan perdagangan antara Asean dan Korea.

"Tanpa maklum balas daripada sektor swasta, ia akan menjadi sukar bagi kerajaan untuk terus membuat penambah baikan bagi mewujudkan kemudahan dan persekitaran perniagaan yang kondusif yang amat perlu untuk integrasi ekonomi rantau ini yang kita bayangkan," kata beliau.

Sidang Kemuncak CEO, yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Korea itu merupakan acara sampingan Sidang Kemuncak Komemoratif Asean-Republik Korea, yang dihadiri pemimpin perniagaan. BERNAMA

Artikel Lain