Muhyiddin minta petugas awam tumpu selesai isu ekonomi - Semasa | mStar

Muhyiddin minta petugas awam tumpu selesai isu ekonomi

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu petugas awam memberi perhatian terhadap usaha-usaha untuk menyelesaikan isu ekonomi agar negara dapat keluar daripada situasi ekonomi yang tidak begitu baik.

Beliau berkata perhatian utama yang harus diberikan ialah menggariskan satu tempoh masa yang sesuai selain menyusun keutamaan, membuat keputusan dan memanfaatkan masa.

"Dalam masa terdekat, khususnya tahun ini dan tahun hadapan, selaras dengan apa yang digariskan oleh kerajaan (kita perlu) menyelesaikan soal pokok iaitu isu ekonomi, menangani banyak masalah berlaku di peringkat bawah, menguruskan hal penting dalam soal pentadbiran, di peringkat wilayah dan sebagainya, untuk memastikan dalam tempoh yang tidak terlalu lama, Malaysia akan dapat keluar daripada situasi ekonomi yang tidak berapa baik.

"Perhatian yang harus diberikan ialah cara bekerja, menyelaraskan tugas dan tanggungjawab, menggerakkan segala program yang telah disusun, cara wang dan sumber yang telah diperuntukkan dibelanjakan dan mempunyai kesan yang diharapkan oleh pimpinan negara," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Muhyiddin berkata dalam tempoh terdekat, petugas awam perlu memberi keutamaan tentang pentingnya mengatur keutamaan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dan menentukan terdapat satu tempoh masa untuk memastikan setiap perkara yang hendak dilaksanakan itu dapat disempurnakan dalam suatu tempoh masa yang sesuai.

"Penting untuk menentukan keutamaan yang hendak kita lakukan. Perdana Menteri telah menggariskan banyak perkara dalam semua aspek iaitu pembangunan ekonomi, pendidikan, sosial dan bidang lain yang telah digariskan dalam dasar kerajaan, pelan pembangunan yang hendak dilaksanakan.

"Semua ini penting untuk kita tetapi bagaimana untuk dilaksanakan, itu terserah kepada kebijaksanaan dan keupayaan kita untuk memahami tugas dan tanggungjawab," katanya.

Beliau juga berkata petugas awam perlu membuat keputusan yang cepat dan tepat kerana rakyat tertunggu-tunggu dan mahukan jawapan bagi perkara yang telah dilaksanakan.

"Sekiranya kita membuat keputusan sama ada menyebelahi kehendak mereka atau tidak, setidak-tidaknya mereka tahu kerajaan telah membuat keputusan.

"Jika mereka tidak puas hati, mereka akan merayu tetapi jika tidak ada keputusan langsung dibuat, sehingga mengambil masa begitu lama, kesannya adalah kepada kerajaan dan imej kita semua," katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan istilah 'Rakyat Didahulukan' daripada konsep "1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan." merupakan penekanan bahawa kerajaan yang dipilih oleh rakyat harus dapat menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan itu sebaik mungkin.

"Rakyat Didahulukan itu yang ditekankan ialah elemen kebertanggungjawaban kita berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab yang hendak dilaksanakan itu terbaik mungkin.

"Ia juga terkandung elemen keprihatinan, belas ihsan, rasa pentingnya kita memberikan keutamaan agar segala dasar dan program yang telah digariskan oleh pimpinan negara kita di mana diperturunkan untuk dilaksanakan oleh kita semua, akan dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya," katanya.

Beliau berkata ini penting untuk diberi perhatian oleh kakitangan awam kerana pada waktu ini, jangkaan masyarakat terhadap kepimpinan dan apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah cukup tinggi.

Muhyiddin berkata ini lebih-lebih lagi dengan situasi ekonomi yang tidak begitu baik, situasi ekonomi global yang membawa kesan kepada negara yang harus dapat ditangani sebaik mungkin agar rakyat tidak akan rasa tertekan hidupnya, terabai, atau disisihkan daripada segala usaha yang hendak dilakukan untuk membangunkan negara.

"Sebab itu tanggungjawab anggota pentadbiran apa lagi penjawat awam adalah amat berat sekali jika kita mahu melihat dalam tempoh yang tidak terlalu lama, usaha untuk memulihkan ekonomi negara akan dapat berjaya.

"Tidak kurang penting ialah kesan daripada langkah yang hendak kita laksanakan itu akan membawa perubahan yang lebih baik pada semua peringkat masyarakat. Ini adalah tuntutan yang harus dapat dilaksanakan sebaik mungkin," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain