suria

Manek Urai: Nik Aziz mahu calon imej ulama, profesional

KOTA BAHARU: Imej gabungan profesional dan ulama merupakan ciri-ciri yang akan menjadi petunjuk untuk menentukan siapakah calon PAS dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai pada 14 Julai ini.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kedua-dua ciri itu penting bagi PAS meneruskan kesinambungan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Ismail Yaacob yang diterima rakyat kawasan berkenaan.

"Ia sebagai kriteria penting untuk kami memilih calon PAS di Manik Urai dan pemimpin itu perlu ada imej ulama dan profesional," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bazar Tok Guru di sini, hari ini.

Kompleks perniagaan dinamakan Madinatur Raudhah itu merangkumi rumah kedai, rumah pangsa dan hotel bertaraf lima bintang itu dilaksanakan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan kerjasama Syarikat Sensatimur sdn bhd dan dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir Ariffahmi Ab Rahman.

Sementara itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS akan terus menggunakan khutbah Jumaat sebagai satu cara berkempen kerana rukun khutbah itu sendiri mengandungi politik, ekonomi dan sosial.

Pilihan raya kecil DUN Manik Urai diadakan berikutan kematian Ismail akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu. BERNAMA

Artikel Lain