suria

Krisis PPP diselesaikan minggu ini, kata Kayveas

PETALING JAYA: Pergelutan dalam kepimpinan Parti Progresif Penduduk (PPP) dijangka "ditamatkan" minggu ini, kata presidennya, Datuk M. Kayveas hari ini.

Beliau berkata Pendaftar Pertubuhan (ROS) mempunyai semua dokumen berkaitan dan satu-satunya perkara yang perlu ditentukan ialah sama ada Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) bulan lepas yang diadakan oleh Senator Datuk T.Murugiah adalah sah atau sebaliknya.

"Pendirian kami berhubung isu ini jelas dan kami menganggap EGM itu sebagai tidak sah kerana tidak mematuhi undang-undang kecil kami," katanya kepada Bernama.

"Berdasarkan undang-undang kecil kami, seseorang calon bagi jawatan presiden harus menjadi anggota parti selama sekurang-kurangnya tujuh tahun sebelum layak untuk jawatan itu.

"Menurut rekod kami, Murugiah menjadi anggota parati sejak 3 Nov," katanya.

Syarat lain yang diperlukan untuk mengadakan EGM adalah EGM itu mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya tiga perempat daripada anggota Majlis Tertinggi serta perlu mempunyai tujuan tertentu dan bukannya mengadakan pemilihan.

"Nyatalah Murugiah tidak memenuhi keperluan udang-undang," katanya.

Bagaimanapun, beliau gembira kerana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta laporan Pendaftar berhubung isu itu.

Kayveas berkata semua persiapan untuk Perhimpunan Agung parti itu berjalan lacar dan akan diadakan mengikut jadual pada 7 Jun yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Parti itu menyelesaikan proses pencalonan Sabtu lepas dengan Kayveas menang tanpa bertanding sebagai presiden parti bagi penggal lima tahun untuk kali keempat.

Sembilan orang lagi dicalonkan untuk tiga jawatan naib presiden manakala 29 yang lain akan bersaing jawatan 25 anggota Majlis Tertinggi pada perhimpunan berkenaan.

Sejumlah 2,200 perwakilan layak mengundi.

Pertelingkahan antara Kayveas dan Murugiah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, tercetus apabila Murugiah dipecat daripada parti dan mengadakan EGM serta mengisytiharkan dirinya sebagai "presiden baru PPP".

Sejak itu penyokong kedua-dua pihak saling melontarkan tuduhan terhadap satu sama lain.

Kayveas mengulangi bahawa demi perpaduan dan kestabilan parti serta imej Barisan Nasional, yang dianggotai PPP, penyokong kedua-dua pihak mesti "menghentikan perang di akhbar itu."

"Apabila keadaan kembali reda selepas ini, akan lebih mudah untuk kita berdamai semula dan bekerja bersama-masa bagi kebaikan parti serta negara," katanya.

Mengenai kedudukan Murugiah sebagai wakil PPP dalam kerajaan, beliau berkata: "Setakat semalam, Murugiah bukan lagi anggota PPP memandangkan beliau gagal mengemukakan rayuan terhadap pemecatannya."

Ditanya sama ada parti akan meminta supaya Murugiah digugurkan daripada jawatan Timbalan Menteri, Kayveas berkata: "Tunggulah sehingga perhimpunan agung nanti," katanya.

Bagaimanapun, Bernama difahamkan terdapat langkah untuk membentangkan resolusi pada perhimpunan itu supaya Murugiah digugurkan. BERNAMA

Artikel Lain