suria

Kementerian Kewangan kaji wujud skim pinjaman elak Ah Long

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan mengkaji kemungkinan mewujudkan satu skim pinjaman kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap bagi mengelakkan golongan berkenaan daripada berhutang dengan Ah Long.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata masalah melibatkan Ah Long semakin meruncing dengan peminjam terpaksa menanggung kadar faedah yang terlalu tinggi serta terpaksa berdepan dengan cara kutipan yang tidak beretika.

"Kerajaan sedang memikirkan bagaimana cara terbaik untuk menangani masalah peminjam yang memerlukan dan terdesak tetapi tidak mempunyai pendapatan tetap," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Kepada Media anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

Dr Awang Adek berkata demikian bagi mengulas cadangan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang meminta Kementerian Kewangan mencari jalan penyelesaian membantu orang ramai yang amat memerlukan pinjaman kecil.

Katanya kerajaan kini menyediakan pelbagai jenis pinjaman termasuklah pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) bagi peminjam yang mahu menjalankan perniagaan dan Amanah Ikhtiar Malaysia bagi penduduk luar bandar. BERNAMA

Artikel Lain