suria

Kemenangan Penanti tanda sokongan berterusan - Anwar

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti semalam menandakan sokongan berterusan rakyat kepada parti itu.

Beliau berkata, walaupun penduduk di Penanti menghadapi tiga pilihan raya dalam masa 14 bulan iaitu pilihan raya umum 8 Mac, pilihan raya kecil DUN Permatang Pauh pada Ogos dan DUN Penanti semalam, mereka tetap memilih PKR untuk memimpin mereka.

"Alhamdulillah, dalam jangka masa 14 bulan ini, tiga kali pengundi Penanti menghadapi pilihan raya dan masih tetap tidak berganjak untuk menyokong agenda perubahan Pakatan Rakyat.

"Keputusan Pilihan Raya Kecil ini membuktikan KeAdilan (PKR) masih mendapat sokongan majoriti penduduk Penanti," katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam blog parti itu hari ini.

Semalam, PKR terus mempertahankan penguasaannya di Penanti apabila calonnya, Mansor Othman memenangi kerusi DUN itu dalam pertandingan empat penjuru tanpa saingan daripada Barisan Nasional.

Mansor yang merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang menang dengan majoriti 5,558 undi menewaskan tiga calon Bebas iaitu Aminah Abdullah yang memperoleh 392 undi, Nai Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56).

Kemenangan Mansor sekaligus melayakkan beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 menggantikan Mohamad Fairus Khairuddin yang meletak jawatan.

Anwar berkata, penduduk Penanti telah membuat keputusan yang bijak dengan memilih Mansor sebagai wakil mereka.

"Semoga dengan perlantikan ini beliau akan menunaikan amanah yang diberikan serta berkhidmat bersungguh-sungguh demi Rakyat," katanya.

Artikel Lain