suria

Bapa tahanan reman mati dalam penjara fail saman RM3.6 juta

KUALA LUMPUR: Bapa seorang tahanan reman yang mati ketika ditahan di penjara Sungai Buloh pada Mei tahun lepas, didakwa akibat dibelasah oleh sekumpulan banduan, hari ini memfailkan saman dan tuntutan ganti rugi lebih RM3.6 juta daripada kerajaan bagi kecuaian.

M.Ghaur Chandram, 52, seorang pemandu teksi, menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Pengarah Penjara Sungai Buloh sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau turut menamakan Pegawai Perubatan bertugas di Hospital Penjara Sungai Buloh, Warden Mohd Rosaizi, Tuan Azhar Mohd dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden ketiga hingga keenam.

Writ saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui firma guaman Tetuan Arnold Andrew& Co.

Ghaur Chandram menuntut RM3,661,000 bagi ganti rugi am, ganti rugi teladan, faedah bagi ganti rugi am dan khas dan sebarang relif yang dianggap patut oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ghaur Chandram mendakwa responden kedua hingga kelima, sebagai yang bertanggungjawab di penjara, telah cuai sehingga anaknya dipukul sehingga mati oleh sekumpulan banduan penjara itu.

Beliau mendakwa kesemua responden telah gagal atau enggan memberitahu keluarganya tentang kematian anaknya sedangkan nyawa dan kebajikan Uthayachandran adalah tangungjawab mereka.

Ghaur Chandram turut mendakwa bahawa rekod-rekod Pegawai Perubatan dan Hospital Penjara tidak lengkap untuk mengetahui sama ada anaknya itu mati di blok penjara atau di bawah jagaan Hospital Penjara Sungai Buloh.

Beliau juga mendakwa kesemua defenden tidak mempedulikan kesengsaraannya dan keluarganya kerana telah menimbulkan masalah dalam prosedur penyiasatan terhadap kes itu dan prosedur pelepasan mayat anaknya.

Uthayachandran merupakan tahanan reman bagi kes dadah dan meninggal dunia pada 18 Mei 2008. BERNAMA

Artikel Lain