suria

Penghantar notis dipenjara terima suapan

SHAH ALAM: Seorang penghantar notis Majlis Perbandaran Selayang (MPs) dijatuhi hukuman penjara tiga bulan mulai hari ini dan didenda RM10,000 selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini menerima suapan wang tunai RM200 daripada seorang pemilik bangunan enam tahun lepas.

Abdul Jamil Roslan, 47, dari Bandar Baru Selayang, Batu Caves didapati bersalah menerima sogokan itu daripada pemilik premis, Lim Seng, 63, pada 14 Jan 2003 di sebuah restoran di Gombak untuk menangguhkan bayaran cukai taksiran yang tertunggak kepada MPS.

Peguamnya Datuk Mohd Taqiyuddin Yahya memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara itu sementara rayuan dibuat.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ng Siew Wee membantah dan mahukan hukuman dijalankan kerana mengikut Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah proses rayuan tidak sesuai digunakan sebagai alasan untuk menangguhkan hukuman.

Hakim Azimah Omar membenarkan penangguhan hukuman penjara itu dengan ikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Azimah berkata, jika Abdul Jamil gagal membayar denda RM10,000 itu, dia akan dipenjara selama enam bulan.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata faktor nilai wang rasuah yang diterima oleh Abdul Jamil tidak boleh dijadikan ukuran kerana kesalahan rasuah adalah serius, tidak kira jumlahnya besar atau kecil.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Mohd. Taqiyuddin merayu kepada mahkamah supaya Abdul Jamil dibebaskan dengan bon berkelakuan baik dengan alasan anak guamnya telah menyesal dengan perbuatannya dan tidak pernah memiliki rekod jenayah sebelum ini manakala suapan RM200 tidak seberapa nilainya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain