suria

Mayat ke-4 dikeluarkan dari runtuhan Jaya Supermarket

PETALING JAYA: Pasukan mencari dan menyelamat mengeluarkan mayat mangsa keempat dari runtuhan bangunan Jaya Supermarket di sini kira-kira 4 petang tadi.

Annuaruddin, operator kren, berusia 38 tahun, ditemui mati terperangkap pukul 3.30 petang.

Mayat dikeluarkan 37 minit kemudian.

Sehingga awal pagi tadi tiga orang telah disahkan terbunuh dalam tragedi itu.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, mayat ketiga yang ditemui awal pagi tadi di bahagian bawah tempat letak kereta bangunan yang pernah menempatkan Jaya Supermarket di Seksyen 14 di sini yang runtuh semalam berjaya dikeluarkan pada 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, mayat Muhamad Maskur, 31, warga Indonesia, dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Penemuan itu menjadikan jumlah korban meningkat kepada tiga orang setelah dua mayat ditemui semalam.

Empat lagi mangsa dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan yang berlaku 5 petang semalam.

Mayat pertama yang dikenali sebagai Maskor, 28, dikeluarkan dari tapak runtuhan pada 6.50 petang semalam manakala mayat kedua, yang belum dikenal pasti, dikeluarkan pada 10.20 malam.

Arjunaidi yang ditemui di tempat kejadian hari ini berkata terdapat seorang atau dua lagi mangsa dipercayai berada berhampiran dengan kawasan mayat ketiga ditemui.

"Usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkan mangsa yang tinggal," katanya.

Mayat Muhamad disahkan oleh rakan sekerja yang juga sepupunya dikenali sebagai Suryano, 21, yang membuat pengecaman di bilik mayat PPUM berdasarkan baju dan kasut yang dipakainya.

"Kami duduk sama-sama, datang ke Malaysia sembilan bulan lalu dan masa kejadian kami baru masuk kerja tak sampai satu jam.

"Masa itu kami sedang turunkan besi cerucuk dari lori ke tingkat bawah, tibatiba dengar bunyi kuat macam benda jatuh, saya terus lari," katanya.

Beliau berkata Muhamad gagal menyelamatkan diri dan beliau sendiri nampak sepupunya itu tertimbus dalam runtuhan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain