suria

Kerajaan BN Selangor tiada kepentingan dalam PKFZ - Dr Khir

SHAH ALAM: Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor tidak mempunyai kepentingan dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang membabitkan kos awal sebanyak RM1.85 bilion, kata bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Malah, katanya pelantikan Datuk Abdul Rahman Palil sebagai Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) iaitu pemilik tapak projek PKFZ, bukan dibuat atas kapasiti beliau sebagai Exco Negeri ketika itu.

Sebaliknya, Dr Mohamad Khir berkata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa itu dilantik sebagai Pengerusi oleh KPPL yang mempunyai kira-kira 2,500 ahli dan sebahagian besarnya nelayan.

"Pengambilan tanah dan penjualan tanah untuk tapak PKFZ tiada kaitan secara langsung dengan kerajaan negeri. Malah isu ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco ketika itu," kata beliau kepada pemberita di sini, Jumaat.

Dr Mohamad Khir berkata kerajaan negeri memberikan tanah itu kepada KPPL selepas dimohon antara 1995 dan 1997 dan KPPL mengadakan kerjasama membangunkan tanah itu dengan Kumpulan Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Beliau berkata tanah seluas 404 hektar itu diambil mengikut Seksyen 3(1)(b) Kanun Tanah Negara yang membolehkan tanah itu diambil untuk peniagaan.

Katanya KDSB menjual tanah itu kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk dijadikan tapak PKFZ pada harga RM25 sekaki persegi dengan mengambil kira kos pembangunan asas seperti menambak tanah, membina perparitan, jalan, jambatan, paip dan bekalan air yang telah dilaksanakan.

"Tanah ini dijual lebih mahal kerana mengambil kira semua kos... tanah ini asalnya berlumpur dan berair yang tidak sesuai untuk pembangunan.

"Kerajaan negeri ketika itu tidak terbabit secara langsung dengan pembelian ini kerana ia membabitkan urusan antara KDSB dengan LPK," katanya.

PKFZ milik LPK yang lokasinya bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, dibangunkan untuk menjadi hab serantau bagi eksport dan pindah kapal barangan pekilangan membabitkan kos RM1.85 bilion.

Sebelum ini, kerajaan mengarahkan siasatan penuh terhadap projek PKFZ kerana dakwaan wujud penyelewengan dalam pelaksanaannya yang bernilai RM4.6 bilion, sekali gus menyebabkan projek gagal dan menjadi 'gajah putih'. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain