suria

Influenza A: 14 kes disiasat

PUTRAJAYA: Bilik Pusat Kesiapsiagaan dan Bertindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan menerima notifikasi sebanyak 14 kes yang dimasukkan ke wad isolasi di tiga buah Hospital Rujukan Influenza A (H1N1) bagi tujuan penyiasatan, sehingga pukul 8 pagi ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata daripada jumlah itu 10 disahkan negatif manakala empat lagi masih menunggu keputusan.

"Sehingga kini, sebanyak 310 kes dimasukkan ke wad isolasi untuk penyiasatan di mana 304 disahkan negatif dan dua disahkan positif.

"Dua kes positif adalah seperti yang dilaporkan pada 15 dan 16 Mei lalu," katanya di dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya tujuh orang sedang diletakkan di bawah kuarantin rumah, berada dalam keadaan sihat dan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak kementerian.

Ismail berkata dua daripadanya kontak kepada kes yang disahkan di Taiwan pada 24 Mei lalu, dikuarantin sehingga Ahad ini manakala lima individu merupakan kontak kepada kes di Singapura pada 26 Mei lalu dikuarantin sehingga Selasa ini.

Beliau berkata Malaysia bebas daripada penularan influenza A (H1N1) dan pelawat luar negara serta penduduk Malaysia tidak perlu bimbang kerana negara ini selamat daripada jangkitan penyakit itu.

Dr Mohd Ismail berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga pukul 8 pagi ini, jumlah negara terlibat masih kekal seperti semalam iaitu 50 buah.

Bagaimanapun, dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 101 kes baru dilaporkan di seluruh dunia menjadikan jumlah keseluruhan kes Influenza A (H1N1) disahkan melalui ujian makmal sehingga kini ialah sebanyak 14,772 kes.

Peningkatan berlaku di empat buah negara iaitu Australia (80), China (5); Hong Kong (3), Jepun (4) dan Republik Korea (12). Tiada kematian baru dilaporkan, mengekalkan jumlah kematian sehingga kini sebanyak 96.

Ismail berkata dalam tempoh sama, seramai 22,620 individu yang tiba dari negara disaring dan daripada jumlah itu, 20,876 (92.3 peratus) disaring di pintu masuk udara, 634 (2.8) di pintu masuk laut dan 1,110 (4.9) di pintu masuk darat.

"Sebanyak satu kes yang dikesan di pintu masuk udara telah dirujuk ke hospital rujukan untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata sehingga pukul 8 pagi ini, kumulatif penumpang yang disaring di semua pintu masuk adalah seramai 244,315 orang, dan daripada jumlah itu, 196,992 (80.6 peratus) disaring di pintu masuk udara; 13,488 (5.5) di pintu masuk laut dan 33,835 (13.8) di pintu masuk darat.

"Daripada jumlah tersebut, 56 orang dirujuk ke Hospital Rujukan Influenza A (H1N1) bagi tujuan penyiasatan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain