Mayat bayi lelaki bersama sekeping nota dijumpai

KUANTAN: Mayat seorang bayi lelaki baru lahir dijumpai dalam bungkusan surat khabar beserta sekeping nota di perkampungan Balok Makmur di sini hari ini.

Mayat itu ditemui seorang penduduk kampung itu, Mohd Hafiz Ismail, 32, di perkarangan rumahnya ketika ia hendak keluar bekerja.

"Nota tersebut berbunyi 'tolong kebumikan dia, saya tidak berkemampuan kebumikannya'," kata Mohd Hafiz.

Beliau berkata, pada 3 pagi terdengar bunyi motosikal lalu dan berhenti sebentar di hadapan rumahnya tetapi beliau tidak endahkannya dan terus tidur.

Mohd Hafiz berkata pada 7.30 pagi, ketika dia mengundurkan kereta untuk keluar bekerja, dia terlihat satu bungkusan dan selepas membukanya dia terkejut melihat mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat. Pengerusi Kelab Rukun Tetangga Balok, Sulaiman Yusof berkata beliau melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis selepas dimaklumkan orang kampung mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha ketika dihubungi berkata pihaknya ada menerima laporan mengenai kes tersebut.

Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan pihaknya sedang mengesan ibu kepada bayi itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain