suria

Laporan penuh PFKZ dikeluarkan hari ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memberi persetujuan supaya laporan audit projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) diumumkan secara penuh kepada orang awam, kata Menteri Pengangkutan Ong Tee Keat.

"Saya bangga bahawa Perdana Menteri dan rakan Kabinet saya berkongsi aspirasi supaya kerajaan ini perlu telus dan menangani isu semasa secara langsung.

"Menyembunyikan masalah itu bukan satu pilihan," kata Ong dalam blognya semalam.

Ong berkata isu kontroversi PKFZ itu telah diperbesar-besarkan oleh pembangkang sejak beberapa tahun lepas dan mereka menggunakan isu itu sebagai modal politik mereka.

"Kini kami perlu mengecewakan mereka dengan membuktikan kepada rakyat bahawa tidak ada apa yang perlu disembunyikan di bawah pentadbiran baru Perdana Menteri dan bersedia mendedahkan kebenaran serta mengambil langkah wajar jika ada sebarang penyalahgunaan.

"Saya sentiasa memperjuangkan sejak April tahun lepas bahawa orang awam harus mengetahui kebenaran. Ia adalah perjuangan yang lama bagi diri saya. Ia diselubungi dengan cabaran dan halangan dari dalam dan luar.

"Perjalanan itu tidak berakhir dengan pengumuman laporan itu. Saya telah meminta Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berbuat demikian dengan secepat mungkin sebaik sahaja semuanya teratur.

"Kami ada banyak kerja untuk dilaksanakan bagi memastikan tindakan diambil ke atas hasil laporan audit oleh PriceWaterhouse Coopers itu dan kepentingan rakyat dilindungi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi LPK Lee Hwa Beng, berkata beliau akan mengadakan sidang akhbar pada pukul 3.30 petang ini untuk mengumumkan hasil laporan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain