suria

Kanak-kanak dipercayai didera akan dijaga Jabatan Kebajikan buat sementara

PETALING JAYA: Mahkamah Kanak-Kanak hari ini memberikan hak penjagaan interim selama sebulan kepada Jabatan Kebajikan untuk menjaga seorang kanak-kanak yang berumur lima tahun yang dipercayai didera oleh ibunya yang berumur 37 tahun.

Majistret Nur Syafawati Arifin membenarkan hak itu selepas dua pegawai dari jabatan berkenaan yang bertindak sebagai pelindung kanak-kanak itu mengemukakan permohonan mereka pagi ini.

Kanak-kanak itu bersama ibunya yang bekerja sebagao guru piano hadir di mahkamah hari ini untuk prosiding kes dan wakil media tidak dibenarkan berada di dalam bilik mahkamah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang turut berada di mahkamah untuk menemui ibu kakak-kanak itu ketika ditemui pemberita berkata mahkamah membenarkan wanita berkenaan melawat anaknya sepanjang tempoh penjagaan itu tanpa mengenakan sebarang syarat.

"Dia (ibu kanak-kanak itu) masih terkejut mendapat tahu anaknya akan diambil darinya, dan saya merasa amat terharu selepas berbual dengannya, saya dapati dia adalah seorang ibu yang penyayang," katanya.

"Sungguh menyayat hati apabila saya mendengar sendiri dari wanita itu yang mengatakan dia amat menyayangi anaknya dan saya dapat perhatikan budak itu sendiri amat sayangkan ibunya," jelas Shahrizat.

Shahrizat berkata beliau berjanji dengan wanita itu, tidak akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai perbincangan dengannya dan akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes berkenaan.

Beliau berkata wanita itu merupakan ibu tunggal sejak bercerai dengan suaminya beberapa tahun lalu dan kanak-kanak itu merupakan satu-satunya anak hasil perkahwinan tersebut.

Katanya beliau akan cuba bertemu dengan ayah kanakkanak itu secepat mungkin untuk mengetahui apa sebenarnya yang sedang berlaku.

"Kes ini masih dalam siasatan polis dan ia perlu ditangani dengan penuh berhemah dan berhati-hati untuk memastikan kanak-kanak itu mendapat bimbingan serta perlindungan yang terbaik," tegas Shahrizat.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan bahawa kanak-kanak itu diselamatkan dari rumahnya di Puchong pada hari Selasa lepas oleh dua pegawai dari jabatan Kebajikan, dan dihantar untuk rawatan di Hospital Serdang.

Doktor yang memeriksa kanak-kanak itu mendedahkan bahawa kanak-kanak itu dipercayai didera berdasarkan kepada kesan cedera pada mulut, kepala, dan beberapa bahagian badannya.

Shahrizat berkata siasatan masih di peringkat awal dan sehingga ini mereka masih tidak dapat memastikan siapa yang sebenarnya mendera kanak-kanak itu.

Beliau berkata dua pegawai Jabatan Kebajikan itu akan menjaga kanak-kanak berkenaan, termasuk menghantarnya ke taman asuhan kanak-kanak.

Katanya beliau turut mengarahkan pegawai jabatan itu menyegerakan siasatan mereka bagi membolehkan kanak-kanak itu mendapat penjagaan yang lebih sempurna, tidak kira sama ada dijaga oleh ibu, bapa atau saudara kanak-kanak itu, yang dirasakan oleh jabatan berkenaan sebagai pihak terbaik memeliharanya. Shahrizat berkata walaupun beliau bersetuju dengan hukuman terhadap mereka yang terbabit, namun dalam kes ini beliau lebih suka sekiranya ia dapat diselesaikan menerusi kaedah pemulihan.

"Mungkin dalam kes ini pendekatan terbaik adalah pemulihan, memandangkan setiap punca keskes penderaan adalah berbeza antara satu sama lain," tambahnya.

Beliau berkata statistik kementerian menunjukkan bahawa dalam kebanyakan kes biasanya pendera tidak sedar bahawa tindakan yang diambil mereka itu sebenarnya adalah mendera.

Shahrizat berkata tahun lepas 985 kes penderaan membabitkan kanak-kanak lelaki dilaporkan berbanding 1,795 kanak-kanak perempuan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain