suria

Samy Vellu restui Palanivel bagi jawatan nombor 2

Seorang pemimpin kanan MIC negeri berkata presiden MIC itu dijangka memberi sokongan kepada Palanivel untuk mengekalkan jawatannya dan seterusnya menerajui MIC selepas persaraan Samy Vellu.

Katanya Samy Vellu telah memberi restu kepada bekas timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu semasa mengadakan mesyuarat dengan beberapa pemimpin MIC negeri minggu lepas.

Menurutnya, Samy Vellu juga telah memaklumkan keputusan itu kepada naib presiden Datuk S. Sothinathan dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam, yang juga setiausaha agung parti itu.

Sebelum ini, Sothinathan dikatakan menerima sokongan Samy Vellu untuk jawatan nombor dua dalam parti berikutan hubungan "bergolak" antara presiden dengan Palanivel, 58, tahun lepas.

Bagaimanapun, difahamkan bahawa keputusan Samy Vellu memihak Palanivel adalah dengan mengambil kira faktor usia dan pengalaman bekas wartawan betukar ahli politik itu menerajui parti tersebut.

"Presiden juga berpendapat Palanivel mempunyai sikap rendah diri, berhubung rapat dengan akar umbi dan pelbagai kualiti lain bagi memimpin parti itu selepas persaraannya," kata pemimpin itu yang enggan dinamakan.

Palanivel bagaimanapun gagal dihubungi untuk mendapatkan reaksinya.

Selepas Samy Vellu menang jawatan presiden tanpa bertanding Mac lepas, beliau berkata ia merupakan penggal akhir dan sesiapa yang dipilih sebagai timbalan presiden September ini akan mengambil alih kepimpinan parti itu.

Sebelum pemilihan presiden, Samy Vellu memberitahu mesyuarat tertutup dengan pemimpin bahagian dari Selangor di sini bahawa hubungannya dengan Palanivel diibaratkan sebagai "suami dan isteri".

"Dalam hubungan suamiisteri memang ada pertengkaran dan ini tidak bermakna kami perlu bercerai. Hubungan saya dengan Palanivel adalah seperti itu. Kami seperti pasangan suami isteri," Samy Vellu dilaporkan sebagai berkata kepada pemimpin bahagian pada mesyuarat tersebut.

Pada pemilihan parti lepas pada 2006, Palanivel menewaskan Datuk S. Subramaniam yang menyandang jawatan timbalan presiden sejak 1981 dengan majoriti 438 undi.

Palanivel, yang juga Ketua MIC Selangor dan bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor, menjadi naib presiden pada 1994 dan memegang jawatan itu selama empat penggal berturut-turut.

Jawatan timbalan presiden dijangka menjadi rebutan antara Palanivel dengan Subramaniam serta sekurang-kurang seorang lagi calon "luar".

Sementara itu, Sothinathan, ketika dihubungi Bernama, berkata beliau akan mengumumkan jawatan yang akan ditandinginya tidak lama lagi.

Sumber parti berkata Sothinathan telah diminta oleh Samy Vellu supaya mempertahankan kedudukannya sebagai naib presiden manakala Dr Subramaniam diminta merebut salah satu daripada tiga jawatan naib presiden.

Barisan pilihan presiden bagi jawatan naib presiden dijangka terdiri daripada Sothinathan, Dr Subramaniam dan S. Veerasingham.

Pemimpin lain seperti Ketua Penerangan Datuk M. Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany, bendahari parti, dijangka kekal dalam kedudukan parti masing-masing.

Ketika dihubungi, Saravanan berkata beliau akan berbincang mengenai nasibnya dalam bidang politik dengan Samy Vellu sebelum membuat pengumuman dalam sedikit masa lagi.

Seorang lagi calon yang berhasrat menjawat jawatan tinggi dalam parti ialah anak Samy Vellu, Vel Paari. Ahli perniagaan berusia 47 tahun itu dikatakan akan bertanding jawatan naib presiden.

"Tetapi ada andaian bahawa dia (Vel Paari) akan diminta oleh ayahnya untuk menangguhkan hasratnya dengan bertanding kerusi jawatankuasa kerja pusat (CWC). Ini akan memberi pendedahan kepada Vel Paari bagi karier politiknya pada masa depan," kata seorang sumber dalaman parti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain