suria

Polis tahan tujuh suspek sindiket curi kereta, 10 lagi diburu

PASIR MAS: Polis Kelantan menahan tujuh lelaki di daerah ini dipercayai anggota sindiket curi kereta dalam tempoh dua minggu lepas dan memburu 10 lagi suspek.

Ketua Jabatan siasatan Jenayah Kelantan, ACP Mazlan Lazim berkata polis merampas tiga buah kenderaan iaitu Perodua Kenari, Proton Wira Aeroback dan Kia Spectra serta komponen kereta yang telah dileraikan susulan tangkapan berkenaan.

"Suspek yang ditahan antaranya bekerja sebagai mekanik, pembuat nombor pendaftaran kenderaan serta penarik kereta dengan dua daripadanya positif dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sindiket itu mula bergiat awal tahun ini dan dipercayai turut menjalankan aktiviti mereka di luar Kelantan, katanya dan menurutnya siasatan awal mendapati anggota sindiket berkenaan turut menjual kereta curi ke negara jiran.

Sementara itu, Mazlan berkata polis mahu menghubungi lima lelaki bagi membantu siasatan polis dalam kes curi kereta itu.

Mereka ialah Mamat Alfatah Mat, 25, dari Kampung Kelochor, Mustapha Dollah, 49, dari Kampung Serdang Surau, Pak Badol, Yusazlan Yusof , 29, dari Jalan Sultanah Zainab, kesemuanya dari Kota Baharu, Nik Rokman Abdullah, 40an, dari Kampung Kiat, Bunut Susu, Pasir Mas dan Sakri Ismail,45, dari Kampung Laloh, Kuala Krai.

Dalam kes berasingan, Mazlan berkata polis menahan seorang lelaki warganegara Thailand kerana memiliki senapang angin buatan sendiri dan merampas 45 butir peluru besi dan sebuah beg kecil mengandungi 20 batang paku digunakan sebagai peluru.

"Lelaki itu ditahan kirakira pukul 7.10 pagi ini di sebuah rumah di Kampung Taji, Bukit Tandak, Rantau Panjang. Hasil pemeriksaan polis turut menemui sedikit daun kering dipercayai ganja," katanya.

Katanya polis masih menyiasat motif lelaki itu yang bekerja sebagai penoreh getah menyimpan senjata berkenaan.

Beliau berkata lelaki itu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan berumur lingkungan 30an telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain