suria

Polis buru pengawal keselamatan disyaki pecah rumah

KUALA LUMPUR: Polis sedang berusaha mengesan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai suspek utama kes pecah rumah membabitkan kerugian RM300,000 di sebuah kondominium di Melati Utama, Wangsamaju, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata suspek yang hanya dikenali sebagai Aidil berusia lingkungan 20an, merupakan pengawal keselamatan kondominium berkenaan.

Beliau berkata dalam kejadian 15 April lepas suspek memecah masuk rumah seorang wanita berumur 32 tahun yang ketika itu berada di hospital, antara pukul 9 pagi dan 5 petang.

"Suspek tahu rumah itu kosong apabila melihat wanita berkenaan dan anggota keluarganya bergegas ke hospital dengan ambulans pada hari tersebut," katanya kepada pemberita di Balai Polis Jinjang di sini hari ini.

Menurutnya polis menahan tujuh lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, yang membawa kepada pengesanan suspek.

Zakaria berkata semua yang ditahan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung pengawal keselamatan yang menghilangkan diri itu supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Zakaria berkata polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun di sebuah kelab malam di Jalan Kepong Jumaat lepas kerana memiliki sepucuk pistol automatik jenis Taurus bersama enam butir peluru hidup.

Katanya suspek ditahan reman selama lima hari sehingga esok bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain