suria

Cubaan samun, seorang penjenayah ditembak mati

KUALA LUMPUR: Polis menembak mati seorang penjenayah kes samun kereta mewah yang pernah ditahan di Simpang Renggam, dalam satu cubaan menyamun seorang pengurus pengaturcara di Subang Bestari, Petaling Jaya dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, penjenayah yang berpistol itu melepaskan dua tembakan ke arah anggota polis yang mengejarnya sebelum polis membalas tembakan yang mengakibatkan penjenayah itu mati di tempat kejadian.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hasnan Hassan berkata pengurus itu yang dikenali sebagai Hamli Mohd, 31, dilarikan dua suspek di hadapan kedai Seven Eleven di Damansara Perdana.

"Mangsa yang memandu Nissan Skyline singgah di kedai tersebut bersama seorang rakan.

Beliau yang menunggu di dalam kereta didatangi dua lelaki berpistol, manakala seorang lagi rakan suspek menunggu di dalam kereta Proton Wira," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hasnan berkata, mangsa ditarik ke tempat duduk belakang, diikat tangannya dengan tali dan mukanya ditutup dengan kemeja t yang dipakainya.

Rakan mangsa yang keluar dari kedai melihat kejadian itu tetapi penjenayah berkenaan menembak ke arahnya tetapi tembakan itu tersasar, katanya.

"Mangsa kemudian dibawa lari dua suspek itu dan sepanjang perjalanan, mangsa turut dipukul dan dipaksa memberikan nombor pin kad ATMnya," kata Hasnan.

Sementara itu rakan suspek yang menaiki kereta Wira mengekori kereta yang dinaiki mangsa bersamasama dua suspek tersebut.

Hasil maklumat yang diterima daripada rakan mangsa, polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Selangor telah berjaya mengesan dan mengekori kereta yang dinaiki mangsa.

"Polis mengesan kereta mangsa di Jalan Bukit Jelutong dan mengekorinya sampai di Subang Bistari. Sampai di satu simpang, polis berjaya memintas kereta yang dipandu suspek itu menyebabkan kereta tersebut terbabas dan polis mengepung kawasan tersebut," katanya. Suspek melepaskan dua tembakan ke arah polis yang membalas tembakan itu sehingga berjaya menumpaskan penjenayah tersebut.

Seorang lagi suspek yang menaiki kereta mangsa serta seorang lagi yang menaiki kereta Wira dapat melarikan diri.

"Polis telah mengenalpasti identiti rakan suspek yang terlibat dan suspek yang mati itu tinggal di Subang serta mempunyai tujuh rekod jenayah lampau iaitu kes samun kereta mewah dan senjata api.

"Polis turut menemui senjata api jenis Smith & Wesson pada penjenayah yang ditembak mati itu dan komputer milik mangsa," katanya.

Hasnan berkata dengan tertumpasnya penjenayah tersebut, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes samun kereta mewah.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 395 samun bersenjata api dan Seksyen 307 cubaan membunuh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain