suria

Polis siasat kaitan senjata api di Ipoh dengan mana-mana kejadian jenayah

IPOH: Polis sedang menyiasat untuk menentukan sama ada senjata api dan peluru yang ditemui berhampiran Kampung Tawas di sini Ahad lepas pernah digunakan dalam manamana kejadian jenayah, kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah.

Katanya siasatan awal mendapati senjata berkenaan bukan berasal dari sini tetapi dipercayai berasal dari luar negara.

"Polis tengah menyiasat daripada mana asal usul senjata api tersebut dan sam ada ia pernah digunakan untuk tujuan tertentu tetapi buat masa ini kita percaya bukan dari dalam negara," katanya pada sidang akhbarnya di sini hari ini.

Zulkefli berkata, siasatan masih di peringkat awal dan polis terpaksa membuat ujian bagi menentukan sama ada senjata api itu pernah digunakan dalam kejadian jenayah. Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat setakat ini, katanya.

Senjata api tersebut ditemui oleh orang awam pada pukul 6.45 petang Ahad lepas dalam sebuah beg yang disorokkan di dalam semak sebelum menghubungi pihak polis mengenainya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sebanyak lapan laras senjata api, hampir 100 peluru M16, berpuluhpuluh kelopak peluru dan beberapa alat penyeyap bunyi senjata ditemui dalam dua buah beg di sini.

Penemuan kesemua senjata api dari jenis submesingan dan pistol itu ditemui dekat sebuah kilang simen berhampiran kawasan berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain