suria

Lelaki hilang ketika menoreh getah bersama ibunya

IPOH: Seorang lelaki bekas pesakit mental dilapor hilang ketika menoreh getah bersama ibunya di sebuah kebun getah di Jalan Kampung Chang, Bidor, 85 km dari sini sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Roslan Bek Ahmad berkata lelaki itu Hew Cheng Yan, 35, dari Kampung Bertuah, Bidor keluar menoreh pada pukul 6 pagi bersama ibunya yang berusia 59 tahun.

"Ketika menoreh, lelaki itu dikatakan mengalami kekejangan otot dan rebah menyebabkan ibu panik dan pergi meminta bantuan penduduk berhampiran dengan meninggalkan anaknya seorang diri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Roslan berkata apabila ibunya tiba semula di kebun getah itu bersama beberapa penduduk kampung, mereka mendapati Hew tiada di tempat itu.

Ibu mangsa membuat laporan polis dan sehubungan itu operasi mencari dengan bantuan anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung dijalankan, katanya.

Beliau berkata lelaki itu pernah dirawat di Hospital Tanjung Rambutan sebanyak tiga kali kerana sakit mental.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah melalui nombor telefon 05-4012222. BERNAMA

Artikel Lain