suria

Krisis PPP: PM belum putus hadir AGM, tunggu ROS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau terlebih dahulu akan memeriksa status Parti Progresif Penduduk (PPP) dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum menentukan sama ada beliau perlu menghadiri perasmian Mesyuarat Agung parti komponen Barisan Nasional itu.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata PPP telah menjemput beliau untuk majlis itu yang dijadual 7 Jun ini.

"Nantilah saya akan dapat laporan dari ROS...mereka (PPP) telah menjemput saya tapi saya perlu periksa dengan ROS dahulu status PPP," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan merasmikan mesyuarat agung PPP itu berikutan krisis yang sedang melanda parti berkenaan.

Terdahulu Najib menghadiri perhimpunan bersama warga kumpulan Felda di Dewan Perdana Felda di sini.

Kemelut PPP meruncing apabila Senator Datuk T.Murugiah, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang sebelum ini dipecat sebagai anggota Majlis Tertinggi parti, "dipilih" sebagai presiden baru parti itu menggantikan Datuk M.Kayveas pada satu mesyuarat tergempar yang dipersoalkan kesahihannya, di Putrajaya Ahad lepas.

Pada masa yang sama, Datuk M.Kayveas mempertahankan bahawa beliau masih presiden PPP yang sah, jawatan yang disandangnya sejak 1993, dan menyelar tindakan Murugiah mengadakan mesyuarat tergempar itu tanpa mendapatkan kelulusan Majlis Tertinggi parti.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa Murugiah menyerahkan keputusan mesyuarat itu kepada Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya semalam.

Pada 26 Mei lepas, Lembaga Disiplin PPP memecat tujuh anggota parti itu termasuk Murugiah atas tuduhan melanggar perlembagaan parti. BERNAMA

Artikel Lain