suria

Krisis PPP: Murugiah akui didatangi utusan Kayveas

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah yang dipilih sebagai Presiden baru menggantikan Datuk M. Kayveas kelmarin, hari ini mengakui telah didatangi utusan 'bos' lamanya itu untuk tujuan berkompromi.

Menurut Murugiah, utusan Kayveas itu menemui beliau pagi ini.

Pun begitu, Murugiah menegaskan, beliau tidak akan membelakangi dan meruntuhkan kepercayaan yang telah diberikan oleh para penyokongnya sehingga memilihnya sebagai Presiden baru PPP.

Beliau juga enggan mendedahkan identiti utusan berkenaan.

"Saya tetap dengan keputusan yang dibuat oleh perwakilan yang mahukan seorang Presiden yang baik, rendah diri dan sedia mendengar pandangan orang ramai," katanya di sini hari ini.

Semalam Kayveas meminta Murugiah menubuhkan sebuah parti baru yang lain, sekali gus memahkotakan terus dirinya sebagai presiden parti baru itu, daripada terus menimbulkan pelbagai masalah kepada parti itu.

Kemelut kepimpinan PPP memuncak apabila kelmarin Mesyuarat Agung Tahunan Tergempar (EGM) diadakan di Putrajaya, yang didakwa dianggotai 1,760 perwakilan dari 778 cawangan parti itu memilih Murugiah sebagai presiden baru.

Semalam Kayveas menegaskan beliau masih merupakan presiden PPP yang sah dan menyifatkan kemelut yang berlaku itu hanyalah seperti "ribut di dalam cawan teh" yang pasti boleh diselesaikan.

Kayveas juga memberitahu semalam pasa asalnya ia hanya merupakan satu perjumpaan biasa sebelum Murugiah menjadikan perjumpaan itu sebagai satu perhimpunan tergempar parti.

Ketika ditanya sama ada telah menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Murugiah berkata, sehingga pukul 3 petang tadi belum menemui beliau.

Bagaimanapun katanya, beliau akan menemui Muhyiddin jika diminta oleh Timbalan Presiden Umno.

"Beliau bos saya, sudah tentu saya akan menemui beliau," katanya.

Dalam pada itu, Murugiah berkata, kenyataan Kayveas yang menuduh beliau telah minta Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membatalkan pendaftaran PPP adalah tidak benar.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah mohon ROS untuk membatalkan pendaftaran PPP.

"Sebaliknya, saya mengetahui perkara bahawa PPP tidak mengemas kini rekod PPP dan tidak menghantar penyata kewangan sejak tahun 2002 apabila Dr. N.A. Shanmuganthan, bekas Ahli Majlis Tertinggi PPP membuat kenyataan media berhubung perkara tersebut.

"Perkara pokok dalam isu ini ialah kegagalan untuk mengemas kini rekod PPP dan kegagalan untuk menghantar penyata kewangan sejak 2002 dan perkara ini telah menyebabkan ahli-ahli berasa begitu kecewa terhadap kepimpinan PPP," katanya.

Kata Murugiah, "Kayveas sepatutnya menggunakan 100 James Bond yang beliau ada untuk mengemas kini rekod PPP dalam ROS yang tidak dikemesa kini sejak tahun 2002 daripada membuang masa dan tenaga."

KENYATAAN MEDIA SENATOR T. MURUGIAH, PRESIDEN PPP

Artikel Lain